Yang halal semakin mahal adalah ayat yang selalu saya cakap kepada kawan-kawan. Zaman sekarang jika semuanya berbayar. Anda ingin guna aplikasi tanpa iklan perlu bayar atau anda ingin akses kandungan eksklusif pun kena bayar walaupun platform itu anda telah bayar untuk menggunakannya. TikTok Series adalah perkara sama dan akan datang Reddit pun ingin menawarkan kandungan eksklusif, bayar untuk akses.

Steve Huffman, selaku CEO Reddit berkongsi dengan Engadget yang mereka kini sedang merancang untuk memperkenalkan subreddit berbayar. Di mana kandungan di dalamnya adalah istimewa, edisi khas, eksklusif atau peribadi. Ia adalah untuk menjana pendapatan tambahan sambil mencari kegunaan lain untuk forum individu yang diuruskan oleh moderator sukarela. Pada masa yang sama, penawaran akses Reddit percuma akan dikekalkan.
Tidak dinafikan yang ia adalah satu ciri yang menarik. Dengan Reddit pun sibuk mengintegrasikan pelbagai ciri AI generatif, mungkin mereka yang membayar akses kepada subreddit khas ini turut boleh menguji ciri khas awal? Sama-sama kita nantikan dan lihat apa yang bakal berlaku pada Reddit.
