‘Cepat balik, Hud. Mama, Abi tunggu’ – Ibu Hud Aryan

26 Feb 2025 • 2:56 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Ketika ini, tumpuan ramai terhadap kehilangan kanak-kanak lelaki, Hud Aryan yang berusia 19 bulan. Kehilangan Hud disedari oleh keluarga pada jam kira-kira 7.00 malam Isnin di rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan.

Susulan itu juga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan diteruskan dan membabitkan penggunaan anjing pengesan K9.

Memetik laporan dari Harian Metro, bapa kepada Hud Aryan berkata, nalurinya kuat mengatakan anaknya masih hidup.

“Walaupun lebih 36 jam belum ada petunjuk dan masih belum ditemukan, namun hati saya mengatakan anak kesayangan kami masih ada dan hidup. Firasat saya, Hud Aryan berada di darat, bukan di kawasan sungai.

“Apa yang terjadi dan menimpa kami adalah perit serta berat untuk ditanggung. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Hud Aryan, Azean Nur Atikah Ramley meluahkan rasa sedih dengan kehilangan anak tunggalnya itu. Difahamkan, enam tahun dia menunggu untuk mendapatkan zuriat dan berdepan dengan pengalaman empat kali gugur sebelum Hud Aryan.

“Ramai orang-orang baik ikhtiar cari Hud Aryan, satu Malaysia doa untuk Hud Aryan. Cepat balik Hud, mama, abi tunggu Hud,” tulisnya di hantaran Facebook.