Cerita bulanan KKD lapor prestasi kementerian setiap bulan: Fahmi

13 Jan 2023 • 7:41 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah memulakan program “Cerita Bulanan KKD” iaitu perkongsian di media sosial mengenai ringkasan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kementerian itu bagi setiap bulan bermula Disember lepas.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil (gambar) menerusi hantaran di Twitter dan Facebook beliau malam semalam berkata beliau berpegang teguh dengan konsep “Rakyat adalah Majikan” oleh itu, rakyat sebagai majikan wajib tahu perkembangan dan hasil kerja menteri.

“Atas sebab itu, KKD tekad untuk melaporkan Cerita Bulanan KKD kepada rakyat pada tiap bulan. Biarlah rakyat menilai hasil kerja kami,” menurut beliau.

Menerusi hantaran itu, beliau turut berkongsi video dan gambar untuk melaporkan tujuh tumpuan utama bagi Disember lepas iaitu siaran percuma Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Pelan Data Perpaduan: Lebih Laju, Lebih Murah, Lebih Data.

Selain itu, langkah KKD menyediakan Internet berkelajuan 800Mbps untuk memudahkan urusan anggota penyelamat bertugas ketika tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, mengaktifkan 471 stesen pemancar komunikasi yang terjejas pasca banjir serta Tabung Bantuan Bencana KKD yang telah menyalurkan RM1 juta kepada mangsa banjir.

Fahmi berkata ini termasuk siasatan segera berkenaan pembocoran data peribadi dan mengadakan libat urus dengan agensi berkaitan, selain menjalinkan kerjasama strategik antara kementerian dan penyedia perkhidmatan media sosial bertujuan membendung kandungan provokatif melibatkan 3R Raja (Royalty), Agama (Religion), Kaum (Race). -Bernama