
AMMAN: Jordan memberi amaran tindakan terbaharu rejim Israel di Masjid al-Aqsa semakin menghampiri percubaan merampas tapak suci itu, sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya konflik keagamaan lebih besar di rantau berkenaan.
The Guardian melaporkan, pihak berkuasa Jordan kini bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama Menteri-Menteri Luar negara Arab dan Islam pada Rabu bagi menyelaraskan tindak balas bersama.
“Kami memberi amaran sebarang usaha mengusik status quo tapak suci ini boleh mencetuskan konflik keagamaan yang kesannya akan melangkaui Palestin dan Jordan, seterusnya merebak ke seluruh dunia Islam.
“Kami sedang berusaha menjelaskan bahaya ini, membantah secara undang-undang serta mewujudkan kesedaran mengenai ancaman ketara ekoran berterusnya tindakan rejim Israel tersebut,” tegas Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi kepada The Guardian.
Safadi menambah, perkembangan terbaharu di kawasan berkenaan termasuk pencerobohan kerap menteri Israel dan kumpulan ekstrem Yahudi berisiko menyemarakkan konflik keagamaan sejagat di rantau berkenaan.
Amaran itu dikeluarkan susulan pencerobohan pada 23 Julai lalu oleh Menteri Keselamatan Kebangsaan Israel, Itamar Ben-Gvir bersama ribuan ekstremis Yahudi yang memasuki kompleks berkenaan di bawah perlindungan polis.
Kumpulan tersebut bertindak bersembahyang, mengibarkan bendera Israel serta menyanyikan lagu kebangsaan mereka sehingga mengundang kecaman meluas daripada negara-negara Arab dan Islam.
Dalam pada itu, pegawai-pegawai Jordan turut meluahkan kebimbangan berhubung laporan usaha merekrut unit polis khas bagi kawasan Temple Mount iaitu gelaran masyarakat Yahudi terhadap tapak berkenaan serta menjangkakan cabaran lebih besar terhadap hak penaungan Jordan menjelang sambutan perayaan utama Yahudi lewat tahun ini.
Masjid Al-Aqsa merupakan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam dan antara lokasi keagamaan paling sensitif dalam konflik Israel-Palestin. Israel merampas Baitulmuqaddis Timur, termasuk Kota Lama semasa Perang Arab-Israel 1967 dan menawannya secara rasmi menerusi tindakan yang tidak diiktiraf oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun, Jordan memegang peranan sebagai pemegang amanah dan pemelihara tapak suci Islam serta Kristian di Baitulmuqaddis sejak lebih sepenggal lalu, peranan yang diiktiraf semula menerusi perjanjian damai 1994 antara Jordan dan Israel.
Kini, Jordan bimbang rejim Israel semakin hampir merombak kawalan pentadbiran lama yang menyaksikan Majlis Wakaf Islam Baitulmuqaddis (di bawah pentadbiran Jordan) menguruskan tapak tersebut, manakala penganut bukan Islam hanya dibenarkan melawat pada waktu tertentu tanpa kebenaran untuk bersembahyang.
Safadi mengesahkan mesyuarat tergempar pada Rabu bakal menghimpunkan Menteri Luar daripada negara anggota Liga Arab serta Turkiye, Indonesia, Malaysia dan Pakistan bagi membincangkan situasi yang disifatkan semakin mendesak itu.
Menteri Luar tersebut turut mengutarakan kebimbangan terhadap percubaan Israel yang mahu memindahkan penduduk Palestin dari Tebing Barat secara paksa ke Jordan sambil menegaskan bahawa tindakan itu melanggar garis merah negaranya dan berisiko memburukkan lagi ketidakstabilan rantau tersebut. -AGENSI
The post Ceroboh al-Aqsa: Jordan panggil negara Islam bermesyuarat appeared first on Utusan Malaysia.

