Ceroboh: Buruh didenda RM1,000

13 Dec 2023 • 4:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara dua bulan kepada seorang buruh kerana menceroboh suatu hartanah.

Hendrey Abd Rahim, 28, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kawasan Medan Perdana Likas di sini pada pukul 12.20 tengah hari, 22 Nov lalu.

Kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Lovely Natasha Charles dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pada hari tersebut, pasukan keselamatan yang membuat rondaan mendapati pagar pintu masuk utama premis itu terbuka luas dengan rantai besi dan mangganya hilang.

Tidak lama selepas itu empat lelaki, salah seorangnya Hendrey, keluar dari kawasan itu melalui pintu masuk utama.

Pengadu cuba menangkap mereka tetapi mereka melawan, kemudian melarikan diri.

Hendrey cuba mendekati sebuah kenderaan 4WD yang didaftarkan atas namanya tetapi gagal sebelum melarikan diri.

Kenderaan tersebut telah dirampas untuk tindakan lanjut polis.

Hendrey kemudiannya ditahan polis pada 25 Nov, kata pihak pendakwaan.

Peguam dilantik Carmen Khoo yang mewakili Hendrey memohon hukuman ringan.

Inspektor Kelvan Elson Maik, yang menjalankan pendakwaan, memohon hukuman setimpal.

Sementara itu, lapan orang dijatuhi hukuman kerana melakukan kesalahan berkaitan dadah.

Empat daripada mereka mengaku memiliki syabu manakala empat lagi mengaku bersalah mengambil syabu dan amfetamin di lokasi berasingan di pusat bandar, Manggatal dan Penampang antara 10 Ogos dan 12 Okt.

Nasir Batler, Amman, Andreas Raja Badin dan Nurdin Mattia masing-masing didapati memiliki syabu seberat 0.58 gram, 0.19 gram, 0.03 gram dan 0.05 gram.

Nasri dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, Amman dipenjara 10 bulan, Andreas dipenjara sembilan bulan manakala Nurdin didenda RM2,800 atau penjara 10 bulan.

Amman yang tidak mempunyai dokumen, dan Andreas yang memegang pasport diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Empat yang didapati mengambil dadah ialah Jadrin Rasul, Muliadi Argent, Fildaus Din dan Effendy John.

Jadrin didenda RM2,200 atau penjara enam bulan manakala selebihnya masing-masing dipenjara enam bulan.

Mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.