Ceroboh Zon Keselamatan KLIA Tanpa Tiket Penerbangan, Warga China Ditahan

17 May 2026 • 3:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Ceroboh Zon Keselamatan KLIA Tanpa Tiket Penerbangan, Warga China Ditahan

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga China ditahan selepas didakwa menceroboh kawasan zon keselamatan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), walaupun tidak memiliki tiket penerbangan yang sah. 

Insiden tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam selepas rakaman video  memaparkan perlakuan agresif wanita berkenaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi Munusamy berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.35 petang semalam di kawasan Pintu Perlepasan Antarabangsa C, Terminal 1 KLIA.

Menurut beliau, wanita berkenaan didapati telah melepasi pusat pemeriksaan keselamatan autogate tanpa sebarang pas penerbangan atau dokumen perjalanan, yang membenarkannya memasuki zon perlepasan antarabangsa.

“Suspek mula bertindak agresif apabila anggota keselamatan cuba menahannya untuk pemeriksaan di kawasan larangan tersebut,” katanya.

Insiden terbabit turut tular di media sosial selepas dirakam orang awam, memaparkan suspek sedang bergelut dengan pihak berkuasa di dalam terminal.

Suspek kemudiannya ditahan anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad kira-kira jam 1.45 petang pada hari yang sama.

Siasatan awal mendapati, wanita berkenaan memasuki Malaysia pada 30 April untuk tujuan percutian bersama seorang rakan, namun dipercayai tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membeli tiket pulang ke China.

Ravi, berkata suspek telah dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini, dan pihak polis memperoleh perintah reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM1,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan di lapangan terbang, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kegusaran awam atau mengganggu kelancaran operasi di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Rakaman video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/share/r/18Tpgcyc7g/?mibextid=wwXIfr.

Kes ini mencetuskan semula perbincangan mengenai tahap kawalan keselamatan serta prosedur saringan penumpang di antara hab penerbangan paling sibuk di Asia Tenggara, khususnya di zon perlepasan antarabangsa yang berisiko tinggi. - Getaran, 17 Mei 2026