CGS-CIMB kekalkan unjuran lebihan perdagangan pada 1.6% daripada KDNK didorong peningkatan pelancong asing pada 2H23

Business & Finance
21 Jul 2023 • 12:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGS-CIMB kekalkan unjuran lebihan perdagangan pada 1.6% daripada KDNK didorong peningkatan pelancong asing pada 2H23

diyana

21/07/2023 - 12:22

KUALA LUMPUR 21 Julai - CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa Malaysia bagi 2023 pada 1.6% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) memandangkan prospek global kurang memberangsangkan.

Ini adalah susulan Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan lebihan dagangan lebih rendah pada RM54.1 bilion pada suku kedua 2023 (2Q23) berbanding RM64.4 bilion pada 1QFY23.

“Kami menjangkakan kedatangan lebih ramai pelancong asing pada separuh kedua 2023 (2H23) dapat membantu mengimbangi kelemahan lebihan perdagangan menerusi aliran masuk yang lebih besar ke dalam akaun perkhidmatan,” kata CGS-CIMB Research dalam nota penyelidikan hari ini.

Mengulas tentang prospek perdagangan, firma itu berkata kelemahan pertumbuhan KDNK China pada 2Q23 boleh menjejas permintaan global, serta eksport Malaysia, memandangkan kedudukannya sebagai rakan dagangan Malaysia.

Tambahnya, walaupun eksport Jun menunjukkan peningkatan tahun ke tahun untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), penghantaran mungkin kekal perlahan pada suku-suku mendatang.

Antara barangan perkilangan, firma itu berkata pertumbuhan eksport E&E berkembang sedikit pada 3.2% tahun ke tahun (YoY) daripada 1.5% pada Mei.

"Kami percaya bahawa dengan jualan semikonduktor global masih mencatatkan penguncupan dua angka pada asas tahunan dalam Mei, normalisasi permintaan sektor E&E mungkin berlaku."

“Sementara itu, data PMI S&P Global Electronics mencatatkan kemerosotan paling kukuh dalam tempoh tiga tahun pada Jun, dengan firma menunjukkan permintaan lembap berikutan inflasi yang tinggi dan keadaan ekonomi lebih lemah dalam ekonomi maju dan China,” jelasnya.

Menurut CGS-CIMB, penurunan eksport perlombongan adalah disebabkan oleh harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang rendah.

Jelasnya, produk pembuatan dan perlombongan, termasuk petroleum mentah, produk petroleum ditapis, serta LNG, semuanya merekodkan kemerosotan pertumbuhan pada asas tahun ke tahun dan bulan ke bulan, seperti yang dicerminkan oleh penurunan harga minyak dan gas asli Brent pada Jun.

“Memandangkan eksport produk berkaitan minyak dan gas (O&G) cenderung untuk menjejaki pergerakan harga minyak mentah, kami berpendapat bahawa nilai penghantaran O&G berkemungkinan menurun apabila harga minyak mentah semakin rendah kelak,” tambahnya. - DagangNews.com