CGS International kekalkan ramalan KDNK 2024 berkembang 5.2%, perbelanjaan domestik perlu kekal teguh
herman
22/07/2024 - 09:46
KUALA LUMPUR 22 Julai - CGS International Research (CGSI Research) mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 pada 5.2% meskipun anggaran ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 (2Q24) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) lebih rendah daripada ramalan pihaknya yang mengunjurkan pertumbuhan 6.3%.
Firma penyelidikan itu berkata, ramalan KDNK 2Q24 yang berkembang 5.8% oleh DOSM itu bagaimanapun tetap melebihi ramalan konsensus Bloomberg.
"Untuk separuh pertama 2024 (1H24), anggaran kami meletakkan pertumbuhan KDNK pada 5% YoY (1H23: +4.1% yoy).
"Pada 2Q24, semua aktiviti ekonomi mencatat pertumbuhan positif, terutamanya sektor pembinaan, yang mengekalkan pertumbuhan dua angka lebih tinggi sebanyak 17.2% YoY (1H24: +11.9% YoT).
"Data KDNK 2Q24 yang dimuktamadkan dijadualkan untuk dikeluarkan pada 16 Ogos 2024 (Jumaat)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
CGSI International percaya perbelanjaan domestik akan terus kekal teguh untuk tahun ini bagi menyokong pertumbuhan berikutan usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna.
Menurutnya, pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyaksikan setakat 24 Jun 2024, seramai 3.16 juta ahli telah mengeluarkan sejumlah RM7.81 bilion. KWSP menjangkakan permohonan akan meningkat sehingga 31 Ogos 2024.
"Selain daripada pemberian tunai 2024 Budi Madani, Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, bantuan kewangan akan diberikan kepada mereka yang layak apabila subsidi RON95 dirasionalkan.
"Aktiviti berkaitan pelancongan yang lebih kukuh juga seharusnya menyokong penggunaan, pada pandangan kami, berikutan sasaran yang lebih tinggi iaitu 2024 ketibaan pelancong (27.3 juta berbanding 20.1 juta pada 2023).
"Bagi pelaburan, kami berpendapat bahawa minat yang kuat terhadap Malaysia sebagai alternatif untuk penjajaran semula rantaian bekalan global, serta kemajuan berterusan projek infrastruktur berbilang tahun selaras dengan beberapa dasar dan pelan induk negara, harus menyokong aktiviti pelaburan," jelasnya.
Firma penyelidikan itu ada masa sama mengingatkan sebarang gangguan kepada aliran perdagangan berkemungkinan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan eksport Malaysia.
Menurut firma penyelidikan itu, pemulihan dalam permintaan luar telah menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan peningkatan dalam pertumbuhan eksport suku kedua 2024 (2Q24) pada 5.8% berbanding setahun lalu dan 1Q24, 2%.
Katanya, ini menunjukkan permintaan global bertambah baik, walaupun risiko gangguan perdagangan boleh diburukkan lagi disebabkan potensi pertikaian perdagangan, seperti antara AS dan China.
"Oleh itu, sebarang gangguan kepada aliran perdagangan berkemungkinan memberi kesan buruk kepada pertumbuhan eksport Malaysia. Kami mengekalkan ramalan KDNK 2024 pada 5.2%," katanya. - DagangNews.com

