
KOTA SAMARAHAN – Malaysia tidak akan menyekat penggunaan ChatGPT dipacu kecerdasan buatan (AI), tetapi penggunaannya mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, satu garis panduan berhubung penggunaan ChatGPT sudah dikeluarkan dan diedarkan kepada universiti tempatan.
“Dalam apa jua keadaan ia boleh digunakan atau tidak boleh digunakan, semua ini akan berada di bawah garis panduan.
“Kami tidak menolak (ChatGPT) kerana ini akan menjadi kebiasaan. Di sesetengah negara, penggunaannya tidak dibenarkan.
“Garis panduan itu sudah diberikan kepada universiti tempatan,” katanya kepada pemberita di sini semasa lawatan kerja ke kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, semalam.
Khaled berkata, penggunaan ChatGPT tidak boleh dielakkan pada zaman ini, tetapi mesti ada garisan mengenai apa dan di mana ia sesuai untuk digunakan.
Beliau memetik kes baru-baru ini di Amerika Syarikat (AS) di mana ‘berlaku perkara tidak sepatutnya’ selepas ChatGPT digunakan.
Menurut laporan, dua peguam yang memberi penjelasan kepada seorang hakim yang marah di Mahkamah Persekutuan Manhattan, menyalahkan ChatGPT kerana menipu mereka untuk memasukkan penyelidikan undang-undang rekaan dalam pemfailan mahkamah.
Khaled sebelum ini meminta kemas kini terhadap kenyataan yang dibuat pada 17 Mac lalu mengenai tindakan kementeriannya mengusahakan garis panduan yang akan mengawal penggunaan ChatGPT.
Beliau kemudiannya dipetik sebagai berkata, ChatGPT dan teknologi AI lain akan memberi manfaat jika digunakan sebagai alat dalam proses pembelajaran. – Borneo Post Online, 13 Jun 2023

