
OpenAI melancarkan model terkini ChatGPT Images 2.0 pagi ini dengan ia bolehlah dilihat sebagai jawapan mereka kepada Gemini Nano Banana. Images 2.0 boleh menjana imej yang kelihatan lebih realistik, memahami konteks lebih baik, menyokong resolusi sehingga 2K dan menyokong janaan imej dalam pelbagai nisbah skrin.
Ciri yang lebih menarik dan berguna ialah Images 2.0 boleh melakukan carian internet terlebih dahulu bagi menjana imej lebih tepat berasaskan prom yang diberikan. Sebagai contoh apabila prom menjana poster barangan yang dijual di kedai A diberikan, Images 2.0 akan mencari terlebih dahulu apakah barangan tersebut sebelum menjana poster yang diminta. Pengguna tidak perlu memuat naik imej untuk dijadikan sumber seperti yang diminta oleh Gemini.

OpenAI turut mengatakan data melatih Images 2.0 juga lebih terkini sehingga Disember 2025. Maka janaan akan lebih terkini tanpa kesilapan. Selain itu Images 2.0 juga boleh menjana imej dengan abjad bukan Bahasa Inggeris lebih baik.

Majoriti AI generatif gagal menjana perkataan yang boleh dibaca apabila perlu menggunakan abjad jawi, cina, Jepun, Korea, Hindi dan Rusia misalnya. Dengan pemahaman bahasa serta abdjad asing, kesilapan ini boleh dielakkan.
Images 2.0 juga dilatih untuk menghasilkan imej dengan gaya visual lebih pelbagai, menjana komik lebih daripada satu muka surat, dan menghasilkan imej lengkap dengan ukuran selamat untuk digunakan untuk cetakan profesional.
