PORT DICKSON - Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard memaklumkan beliau telah menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab beberapa tuduhan.
Menurutnya, notis tersebut diterima pada 10 Mac lalu, dan tempoh tujuh hari diberikan untuk mengemukakan jawapan.
“Notis itu saya terima melalui Whatsapp pada jam 6 petang dan diberi tempoh tujuh hari untuk menjawabnya, dengan tarikh akhir pada semalam (Selasa).
“Tapi saya membuat keputusan untuk tidak menjawab kerana merasakan soalan-soalan yang dikemukakan adalah tidak masuk akal,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Port Dickson di sini pada Rabu.
Beliau berkata, antara perkara yang diminta penjelasan termasuk sidang media pada 9 Julai lalu yang didakwa memburukkan parti, selain komennya di media sosial yang menggunakan perkataan 'barua dan mangkuk hayun'.
Ujarnya, situasi tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa parti dikawal sepenuhnya sehingga ahli tidak bebas menyuarakan pandangan.
“Saya tidak mahu merendahkan intelektual saya untuk menjawab soalan tersebut dan bersedia menerima apa jua keputusan Lembaga Disiplin parti.
“Saya lihat parti ini tidak lagi menjadi juara rakyat, malah sesiapa yang secara agresif mengkritik kerajaan dilihat sebagai musuh parti,” katanya.
Justeru, beliau mencabar Bersatu supaya memecatnya sekiranya tindakannya bersuara selama ini dianggap sebagai satu kesalahan.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan Bersatu Bahagian Port Dickson akan lumpuh tidak lama lagi.
“Saya menyertai Bersatu pada 2020 selepas dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat pada 2016 dengan niat untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.
“Namun kini Bersatu tidak lagi seperti dahulu. Jika parti tidak mahu berubah dan kembali kepada asas penubuhannya, maka pecatlah saya,” katanya.
Dalam pada itu, Badrul turut meluahkan kebimbangan bahawa situasi yang melanda Bersatu ketika ini boleh menjejaskan Perikatan Nasional (PN).
