
KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan Chelot terus menunjukkan taring di pawagam apabila kutipannya kini mencecah RM14 juta selepas 14 hari tayangan, termasuk Tayangan Awal.
Pencapaian itu meneruskan momentum positif filem arahan Adrian Teh yang sebelum ini merekodkan kutipan RM10.7 juta, sekali gus membuktikan sambutan penonton terhadap karya aksi tempatan berkenaan masih kukuh.
“Terima kasih Malaysia! RM14 juta selepas 14 hari!” menurut perkongsian terbaharu mengenai pencapaian filem berkenaan.
Chelot sebelum ini turut mendominasi carta pawagam apabila berada di kedudukan filem nombor satu di Malaysia selama 11 hari berturut-turut, didorong sokongan peminat yang memenuhi dewan tayangan di seluruh negara.
Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon terkenal antaranya Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani dan Theebaan G.
Chelot mengisahkan seorang pegawai Unit Operasi Khas yang berdepan masalah kewangan serius sebelum satu keputusan silap menyebabkan dirinya terjerat dalam sindiket penyeludupan senjata.
Keadaan menjadi semakin genting apabila dia terpaksa bertindak sebagai orang dalam untuk menumpaskan sindiket berbahaya itu, sekali gus mempertaruhkan kerjaya, keselamatan keluarga dan nyawanya sendiri.
The post Chelot cecah RM14 juta lepas 14 hari tayang appeared first on MYBERITA.
