Chery Perkenal 3 SUV Mewah Terbaru, Jetour Zongheng – Lasak & Futuristik

LocalCars
27 Jan 2025 • 2:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Jetour perkenal tiga model dalam siri SUV off-road mewahnya, Zongheng

Jenama di bawah syarikat automotif Chery, Jetour, memperluaskan portfolionya dengan pengenalan siri SUV off-road hibrid mewah, Zongheng.

Dalam acara pratonton tersebut, tiga model diperkenalkan, namun hanya satu yang bakal dikeluarkan dalam masa yang terdekat, Zongheng G700. Model ini dibangunkan berdasarkan model konsep yang pernah didedahkan dulu, Jetour T5 Concept.

image is not availableimage is not available

Zongheng G900 dijangka akan dilancarkan sebagai sebuah model SUV coupe dengan reka bentuk radikal

Dua lagi model, iaitu trak pikap, Zongheng F700 dan SUV coupe flagship, Zongheng G900, masih dalam peringkat prototaip. Namun, rancangan pengeluaran dan pelancaran pasaran bagi kedua-duanya telah dirangka, di mana ia dijangka menyusul selepas pelancaran Zongheng G700.

Zongheng G700: Pesaing BYD Fang Cheng Bao 5

image is not available

Jetour Zongheng G700 (Foto: CarNewsChina)

Zongheng G700 jelas dirancang untuk bersaing secara langsung dengan BYD Fang Cheng Bao 5. Reka bentuk luarannya yang lasak, elemen rekaan blok dan kemampuan off-road menyerlahkan ‘hasrat’ tersebut.

image is not available

BYD Fang Cheng Bao 5 yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2024 pertengahan tahun lalu

Model yang dibangunkan menggunakan kerangka ladder frame ini tampil agresif dengan bentuk badan yang besar, berkepanjangan 5.1 meter dengan jarak kelegaan tanah boleh laras antara 150 mm hingga 350 mm melalui teknologi suspensi udara boleh laras.

Zongheng G700 menggunakan trenkuasa Kunpeng Super Hybrid CDM-O milik Chery. Sistem ini terdiri daripada enjin turbo 2.0 liter 4-silinder dengan dua motor elektrik hibrid plug-in (PHEV) yang mampu menghasilkan output keseluruhan 751 hp (761 ps) dan 795 Nm. Kuasa disalurkan kepada roda melalui sistem transmisi dua kelajuan DHT. Pelbagai mod pemanduan off-road boleh diakses melalui butang kawalan pada bahagian konsol.

Menggunakan platform bervoltan tinggi, 800V, membolehkan model ini dicas dengan pengecas pantas (DC) dari 20-80% hanya dalam masa sepantas 6 minit.

image is not available

Jetour juga mendedahkan bahawa sistem sama, Kunpeng Super Hybrid ini akan digunakan pada trak pikap Zongheng F700.

image is not available

Namun, bagi model flagship, Zongheng G900, ia akan menggunakan sistem kuasa EREV (penambah jarak) yang dinamakan CEM-O. Sistem ini menggabungkan enjin 2.0 liter sebagai penjana kuasa, bateri dan empat motor elektrik yang mampu menghasilkan output luar biasa sehingga 1,572 hp.

Kabin Mewah Dengan Ciri Terkini

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Zongheng G700 (atas) dan F700 (bawah) dijangka berkongsi sistem trenkuasa super-PHEV yang menawarkan 751 hp (761 ps) dan 795 Nm yang sama. (Foto: CarNewsChina)

Di dalam kabin, Zongheng G700 merupakan sebuah SUV dengan tempat duduk tiga baris (2-2-2). Dalam aspek teknologi, model ini dilengkapi dengan skrin infotainmen sesentuh besar di tengah.

Pelancaran Di China & Potensi Kemasukan Ke Pasaran Malaysia

Menurut Chery, Zongheng G700 dijangka dilancarkan di pasaran China pada suku ketiga (Q3) tahun ini, dengan kemungkinan eksport ke luar negara. Tidak mustahil model ini juga akan memasuki pasaran Malaysia, seperti yang pernah diisyaratkan oleh eksekutif Jetour Malaysia sebelum ini.

Jetour Malaysia pernah mengumumkan rancangan mereka untuk melancarkan sekurang-kurangnya satu model baharu, SUV Jetour Dashing, serta membuka 10 cawangan pusat 3S dan 4S baharu di seluruh negara menjelang suku pertama (Q1) tahun ini.

image is not available