China Bantu Iran Elak Sekatan Ekonomi, Guna Sistem Barter Dengan Minyak!

WorldBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 2:34 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

China Bantu Iran Elak Sekatan Ekonomi, Guna Sistem Barter Dengan Minyak!

Iran dilaporkan menggunakan mekanisme perdagangan seperti barter untuk mengelakkan sekatan terhadap eksport minyaknya dan mendapatkan barangan bernilai berbilion dolar dari China.

Menurut sumber kanan Iran dan individu yang mengetahui perkara itu kepada Reuters, minyak Iran ditukar kepada kredit yang kemudian digunakan untuk membayar import dari China.

Minyak Iran Ditukar Dengan Barangan China

Mekanisme ini dipercayai menjadi antara talian hayat kewangan Tehran ketika Amerika Syarikat meningkatkan tekanan ekonomi dan ketenteraan terhadap Iran.

Melalui aturan tersebut, Iran boleh mendapatkan pelbagai barangan dari China tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem kewangan antarabangsa berasaskan dolar.

Antara barangan yang dibeli termasuk ubat-ubatan, kenderaan dan peralatan komunikasi, menurut sumber Reuters.

China pula mendapat manfaat dengan mengekalkan akses kepada minyak mentah Iran pada harga diskaun, selain mengurangkan risiko bank dan syarikatnya berdepan tindakan antarabangsa.

Peralatan Pertahanan Turut Dikaitkan

Sumber turut mendakwa mekanisme sama digunakan sekurang-kurangnya sekali tahun lalu untuk kontrak membekalkan Iran dengan peralatan pertahanan udara bernilai jutaan dolar.

Bagaimanapun, sumber tidak memberikan butiran transaksi atau pengeluar yang terlibat. Reuters juga tidak dapat mengesahkan secara bebas bahawa transaksi tersebut benar-benar berlaku.

Tiada petunjuk bahawa pengeluar China yang disebut dalam laporan itu melanggar sekatan, kerana mereka dikatakan tidak berurusan secara langsung dengan Iran.

AS Tingkatkan Tekanan Terhadap Iran

Washington sebelum ini mengenakan sekatan terhadap beberapa entiti China yang membeli atau membantu penghantaran minyak Iran.

Namun, AS setakat ini tidak mengambil langkah paling berat terhadap China yang berpotensi memberi kesan lebih besar kepada ekonomi global.

Pada Ogos, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent memberi amaran bahawa negara yang terus menjalankan urusan perniagaan dengan Iran boleh berdepan risiko dikeluarkan daripada sistem kewangan berasaskan dolar.

Tekanan itu meningkat ketika AS cuba menamatkan konflik dengan Iran dan membuka semula Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.

Selat Hormuz Jadi Titik Kritikal

Menurut laporan Reuters sebelum ini, tiada kargo minyak mentah Iran berjaya melalui Selat Hormuz ke China sejak sekatan tentera laut AS dikuatkuasakan semula pada 14 Julai.

Keadaan ini menjadikan mekanisme perdagangan alternatif semakin penting kepada Tehran, terutama jika eksport minyak melalui laluan utama terus terganggu.

Namun, Reuters turut menegaskan bahawa kesan sebenar sekatan tentera laut AS terhadap sistem barter tersebut masih belum dapat dipastikan.

China Dan Iran Tolak Sekatan Barat

China dan Iran berulang kali mengecam sekatan unilateral Barat yang disifatkan mereka sebagai tidak sah dan berikrar untuk melindungi kepentingan masing-masing.

Kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi dan politik yang rapat, tetapi jarang mendedahkan secara terbuka bagaimana perdagangan antara mereka diteruskan ketika sekatan antarabangsa diperketatkan.

Iran juga berdepan sekatan PBB yang dikenakan semula pada September 2025, termasuk sekatan terhadap eksport sebahagian besar senjata konvensional utama ke negara itu.

Dengan Selat Hormuz masih menjadi titik panas dan tekanan AS terhadap Iran semakin meningkat, sistem barter dengan China kini menjadi antara saluran penting yang membantu Tehran mengekalkan akses kepada barangan dan perdagangan luar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved