China mengeluarkan satu dakwaan berani yang mencabar naratif umum tentang asal-usul Covid-19 — dengan mendakwa virus itu mungkin sebenarnya bermula di Amerika Syarikat dan bukan di Wuhan, China.
Dakwaan itu dinyatakan dalam satu laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Penerangan Majlis Negara China pada Rabu. Dalam dokumen setebal beberapa muka surat itu, kerajaan China mendesak agar siasatan menyeluruh dijalankan di AS bagi menjawab persoalan antarabangsa tentang punca sebenar penularan virus yang telah meragut lebih 7 juta nyawa di seluruh dunia.
Terdapat “bukti kukuh” yang menunjukkan virus SARS-CoV-2 mungkin telah menular di Amerika lebih awal daripada tempoh yang dilaporkan secara rasmi — dan lebih awal daripada kes pertama yang dilaporkan di China.
Kenyataan keras yang terkandung dalam dokumen itu menyalahkan Amerika kerana dikatakan menjadikan isu asal-usul virus sebagai alat politik untuk menutup kegagalan mereka dalam menangani pandemik.
“Kerajaan AS, daripada mengakui kelemahan dalam tindak balas terhadap Covid-19, mereka telah memilih untuk menyalahkan negara lain dan mempolitikkan isu ini secara terbuka,” tulis laporan itu, seperti dipetik dari Express.
Dakwaan awal penularan di AS berdasarkan kajian antibodi
China mengkritik pentadbiran Donald Trump kerana didakwa tidak memandang serius ancaman Covid-19 pada awal tahun 2020, malah menyamakan virus itu dengan selesema biasa dan percaya ia akan “hilang dengan sendirinya.”
Antara bukti yang dikemukakan, laporan itu menyebut kajian oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat yang menemui antibodi Covid-19 dalam sampel darah dari sembilan negeri, dikumpulkan antara Disember 2019 hingga Januari 2020. Kajian lain oleh Institut Kesihatan Nasional (NIH) pula mendapati antibodi virus itu sudah dikesan di semua 50 negeri di AS menjelang Mac 2020.
Namun, beberapa pakar kesihatan menegaskan bahawa ujian antibodi tidak boleh dijadikan bukti muktamad kerana ia boleh menghasilkan keputusan palsu akibat tindak balas silang dengan virus lain seperti selesema biasa.
Laporan itu mendakwa berlaku lebih 1,500 kejadian berkaitan keselamatan makmal di Amerika Syarikat yang melibatkan virus berbahaya seperti koronavirus. Namun, kebanyakan kejadian itu dianggap kecil seperti botol sampel yang pecah, dan hanya 15 orang dilaporkan dijangkiti.
China gesa siasatan dan kritik kegagalan AS kawal pandemik
China menempelak tindakan AS yang didakwa sengaja menjadikan China sebagai kambing hitam, sedangkan China mendakwa telah bertindak pantas mengawal penularan awal dan memberi masa penting kepada dunia untuk bersedia.
Apa yang menariknya, laporan itu langsung tidak menyebut tentang penjujukan genetik awal virus yang dilakukan di Wuhan, yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan beberapa kes pertama melibatkan pasar makanan laut Huanan dan Hospital Jinyintan.
“Amerika Syarikat perlu berhenti menyalahkan negara lain, berhenti mencari alasan untuk tutup kelemahan sendiri, dan mula memberi jawapan yang bertanggungjawab kepada dunia.”
The post China dakwa Covid-19 mungkin bermula di Amerika Syarikat, bukan di Wuhan appeared first on The Reporter.




