Bulan akan menjadi koloni pertama manusia sebelum kita boleh melangkah seterusnya ke Marikh. Menerusi Misi Artemis, Amerika dan sekutunya mengesahkan akan membina markas di bulan. Semalam China dan Rusia mengumumkan hasrat bekerjasama meletakkan reaktor nuklear di permukaan bulan seawal 2033 menurut Reuters.

Agensi angkasa Rusia Roscosmos dan agensi angkasa China CNSA sedang bekerjasama membangunkan markas mereka di permukaan bulan. Hubungan tegang antara blok negara Barat dengan China serta Rusia menyebabkan markas perlu dibina sendiri oleh dua kuasa besar ini.
Panel solar tidak mampu menawarkan tenaga yang mencukupi untuk sebuah markas di bulan. Hanya tenaga nuklear pada waktu ini dilihat sebagai sumber tenaga yang terbaik. Turut diumumkan oleh Roscosmos ialah mereka turut merancang membina kapal angkasa kargo berkuasa nuklear yang boleh menghantar bekalan dari bumi ke bulan.
United Kingdom dan Amerika Syarikat telah pun mengumumkan projek reaktor nuklear kompak untuk keperluan markas di bulan serta Marikh. Prototaip telah pun diperlihatkan oleh Rolls Royce dengan reaktor kapal selam diubahsuai untuk tujuan ini. Amerika juga merancang menggunakan roket kuasa nuklear untuk misi ke Marikh kerana ia mampu memberikan tujahan lebih berkuasa bagi memendekkan masa perjalanan.

