China ingin menjadi kuasa besar bukan sahaja di bumi tetapi juga di angkasa lepas. Ini dilakukan dengan membangunkan stesen angkasa sendiri, mendaratkan proba di sisi jauh bulan dan ingin menghantar angkasawan ke permukaan bulan. Kini sekumpulan saintis di China mencadangkan pembinaan teleskop radio di permukaan sisi jauh bulan pula menurut laporan South China Morning Post. Ini sekaligus akan menjadikan China negara pertama melakukannya.

Saintis China memperlihatkan rancangan membina teleskop radio di sisi jauh bulan bagi mengesan kehadiran isyarat kosmik gelombang ultra-panjang bagi mengkaji sejarah angkasa lepas. Isyarat ini dihalang oleh atmosfera bumi dan oleh sebab itu bulan ialah lokasi terdekat untuk membina teleskop ini.
China mempunyai perancangan meletakkan sehingga 7200 antena tersusun di permukaan bulan dalam kawasan seluas 30 meter persegi. Pada fasa pertama, sebanyak 16 antena akan diletakkan di permukaan bulan menggunakan robot dan kenderaan pendaratan Chang-e dengan ini akan mengambil masa 3 tahun. Kemudian ia dikembangkan pula dengan 100 antena yang disusun pula oleh angkasawan dan proses ini dijangka mengambil masa sehingga lima tahun.
Apabila markas di bulan telah dibina kelak, ia akan memasuki fasa akhir kesemua 7200 antena yang disusun oleh angkasawan yang bertugas dengan proses mengambil masa 10 tahun. Proses pembinaan melalui beberapa fasa bagi melihat cabaran, isu yang bakal timbul dan memastikan kelengkapan berfungsi seperti diramalkan di bumi.




