China kecam tarif baharu AS ganti cukai import global

WorldBusiness & Finance
25 Jul 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: China kecam tarif baharu AS ganti cukai import global

BEIJING: Beijing mengecam tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan terhadap China dan 59 negara lain pada Jumaat atas dakwaan berkaitan kebimbangan mengenai buruh paksa, selain memberi amaran kepada Washington supaya tidak mencetuskan perang perdaga­ngan.

Tarif yang dikenakan oleh AS berada dalam julat 10 hingga 12.5 peratus dengan China dikenakan kadar tertinggi.

“Kami menentang semua bentuk langkah tarif unilateral,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, dalam satu sidang media pada Jumaat.

“Perang tarif dan perang perdagangan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” tambahnya yang memberi amaran kepada AS.

Tarif baharu itu menggantikan cukai import global sementara yang akan tamat tempoh, yang diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump awal tahun ini.

Pentadbiran Trump bergerak pantas untuk membina semula dasar perlindungan tarif pre­siden itu selepas Mahkamah Agung AS  membatalkan sejumlah besar tarif yang dikenakan­nya pada Februari lalu, satu tamparan terhadap keupayaannya mengenakan tarif tinggi sesuka hati.

Ketika mengumumkan tarif tersebut, Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer berkata, Washington sedang menguat­kuasakan larangan import berkaitan buruh paksa secara tegas.

“Sudah tiba masanya rakan dagang kami melakukan perkara yang sama,” katanya.

Negara-negara yang telah melaksanakan larangan terhadap import berkaitan buruh paksa  termasuk Kanada, Ke­satuan Eropah dan United Kingdom  dikenakan kadar lebih rendah iaitu 10 peratus.

Rakan dagang utama lain termasuk India dan Jepun pula dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.

China dan AS menghabiskan sebahagian besar tahun lalu dalam konflik perdagangan antara kedua-dua negara.

Selepas Trump melawat Beijing tahun ini, China berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan AS untuk mengurangkan tarif. 

Namun,  pengenaan tarif terbaharu ini mengancam untuk mencetuskan semula ketega­ngan perdagangan antara ke­dua-dua negara. – AFP

 

The post China kecam tarif baharu AS ganti cukai import global appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved