China laksana hukuman mati pegawai terlibat skandal rasuah besar

19 Dec 2024 • 2:42 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

China telah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang bekas pegawai, Li Jianping, yang terlibat dalam skandal rasuah melibatkan 3 bilion yuan (RM2 bilion). Hukuman ini merupakan sebahagian daripada usaha Presiden Xi Jinping untuk membanteras rasuah dalam sistem politik negara.

Li Jianping, bekas ketua parti di zon pembangunan ekonomi Hohhot, Mongolia Dalam, dihukum mati pada Selasa selepas bertemu keluarganya buat kali terakhir. Beliau sebelum ini dijatuhi hukuman mati pada September 2022 atas tuduhan pecah amanah, menerima rasuah, menyalahgunakan dana, dan bekerjasama dengan kumpulan jenayah.

Rayuan Li untuk membatalkan hukuman tersebut telah ditolak pada Ogos, dan Mahkamah Agung China mengesahkan hukuman mati itu. Mahkamah menyatakan jenayah Li sangat serius kerana melibatkan jumlah wang yang besar dan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Kes ini jarang berlaku kerana kebanyakan hukuman mati di China bagi kes rasuah biasanya ditukar kepada penjara seumur hidup jika pesalah menunjukkan kelakuan baik.

Pada hari yang sama dengan pelaksanaan hukuman mati, ucapan Xi Jinping yang menekankan pentingnya memerangi rasuah dalam parti didedahkan kepada umum. Dalam ucapannya, Xi menggesa pegawai parti untuk “memperbetulkan kelemahan dalaman” bagi memastikan disiplin parti sentiasa terjaga.

Walaupun kempen anti-rasuah ini semakin agresif,namun masih berdepan cabaran korupsi, terutama dalam angkatan tentera. Dua bekas menteri pertahanan, termasuk Jeneral Li Shangfu dan Wei Fenghe, telah disingkirkan dalam tempoh dua tahun lalu atas dakwaan rasuah.

Pada tahun 2023 sahaja, sekitar 610,000 pegawai parti dihukum kerana melanggar disiplin, termasuk 49 pegawai berpangkat tinggi seperti naib menteri atau gabenor.

Sumber: Independent