
BEIJING: China meluluskan ubat penurunan berat badan GLP-1 pertama dalam bentuk pil yang boleh diambil secara oral, sekali gus membolehkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Eli Lilly memasarkan ubat orforglipron di negara itu.
Kelulusan itu diberikan ketika jumlah penduduk dewasa China yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti dijangka mencecah 630 juta menjelang 2050.
Ubat GLP-1 membantu menurunkan berat badan dengan meniru fungsi hormon semula jadi dalam usus yang mengawal selera makan serta paras gula dalam darah.
Populariti ubat berkenaan meningkat mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mendorong pengeluar farmaseutikal bersaing menghasilkan ubat dalam bentuk pil sebagai alternatif kepada rawatan sedia ada yang memerlukan suntikan.
Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China (NMPA) pada Khamis memaklumkan pihaknya meluluskan pil keluaran syarikat gergasi farmaseutikal berpangkalan di AS itu yang dipasarkan dengan jenama Muyouda.
Ubat berkenaan diluluskan untuk merawat golongan dewasa yang mengalami obesiti atau berat badan berlebihan serta mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan berkaitan berat badan.
Pil yang perlu diambil sekali sehari itu turut mendapat kelulusan di AS pada April lalu.
Eli Lilly mendahului pesaingnya termasuk syarikat Denmark, Novo Nordisk, pengeluar ubat Wegovy, sebagai syarikat pertama memperoleh kelulusan bagi ubat seumpama itu dalam bentuk pil di China.
Suntikan GLP-1 keluaran Eli Lilly, Novo Nordisk dan syarikat tempatan, Innovent, sudah tersedia secara meluas di negara itu.
Pasaran rawatan penurunan berat badan di China kini berkembang pesat.
Menurut kajian 2025 yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, jumlah penduduk dewasa China yang mengalami obesiti atau berat badan berlebihan berpotensi mencecah 630 juta menjelang 2050.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China turut memberi amaran 65 peratus penduduk negara itu dijangka mengalami obesiti atau berat badan berlebihan menjelang 2030.-AFP
The post China lulus pil pelangsing GLP-1 pertama appeared first on Utusan Malaysia.




