China Sedia Perkukuh Kerjasama AI Dengan Malaysia dan ASEAN — Anwar

LocalTechnology
17 Nov 2026 • 9:54 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

Image from: China Sedia Perkukuh Kerjasama AI Dengan Malaysia dan ASEAN — Anwar

China bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia serta negara-negara anggota ASEAN yang lain dalam bidang kecerdasan buatan (AI), termasuk aspek pemindahan teknologi dan penyediaan latihan tambahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bidang AI dan keselamatan siber turut menjadi fokus utama perbincangan bersama rakan dialog pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila.

“Dalam semua perbincangan mengenai AI dan keselamatan siber, termasuk dengan Australia dan Korea Selatan, kita tekankan kepentingan meningkatkan usaha dalam kedua-dua bidang itu,” katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi persidangan berkenaan.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak tersebut yang berlangsung dari 15 hingga 17 November di bawah kepengerusian Filipina, yang mengangkat tema “Navigating Our Future, Together”. Malaysia ketika ini bertindak sebagai negara penyelaras hubungan dialog ASEAN-China.

Menurut Perdana Menteri, ASEAN turut memberi penekanan khusus kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mesyuarat bersama China, Korea Selatan dan Australia yang turut menyentuh sektor tenaga serta perdagangan.

“PMKS ini merupakan kekuatan ekonomi kita di ASEAN. Kalau kita hanya tertumpu pada pelaburan besar, kelompok ini akan tertinggal,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang dimeterai pada Sabtu lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pakatan tersebut menandakan langkah awal yang penting ke arah memudahkan urusan pembayaran rentas sempadan serta mengharmonikan pengisytiharan kastam dalam kalangan negara anggota.

“Kedua-dua langkah itu boleh merancakkan perdagangan intra-ASEAN, dengan pengisytiharan kastam yang diharmonikan membolehkan negara anggota menyemak silang maklumat perdagangan,” jelas Johari.

Beliau menambah bahawa ASEAN menyasarkan untuk membangunkan sebuah platform digital bersama bagi negara-negara anggotanya dalam tempoh kira-kira 180 hari akan datang, bergantung kepada kelajuan tindakan yang diambil oleh setiap negara anggota.

Sumber: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved