
KUALA LUMPUR: China bersetuju untuk meningkatkan usaha ke arah memuktamadkan Rundingan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut dinyatakan Premier China Li Qiang dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Filipina baru -baru ini.
Beliau berkata, Malaysia bersama negara ASEAN turut sepakat supaya rundingan dengan China diteruskan bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan, termasuk menerusi penggubalan Kod Tata Kelakuan (COC).
“Jawapan daripada Premier Li Qiang itu jelas, China bersetuju untuk meningkatkan usaha bagi memuktamadkan COC.Ia akan terikat dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Malaysia memilih pendekatan diplomasi dalam menangani isu pertikaian Laut China Selatan menerusi rundingan berterusan dengan China dan permuafakatan antara negara anggota ASEAN bagi memastikan keselamatan serta kepentingan negara terpelihara,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030 di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pendekatan diplomasi itu tidak bermakna Malaysia boleh mengambil mudah aspek pertahanan, sebaliknya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga.
Katanya, Kementerian Pertahanan juga perlu menjadikan isu keselamatan di Laut China Selatan sebagai keutamaan untuk terus dipantau dan dikawal.
“Saya memilih jalur diplomasi walaupun bersetuju dengan gesaan Kementerian Pertahanan untuk kita menambah kekuatan dan aset dalam memastikan kesiapsiagaan bagi menjaga kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN
The post China setuju pertingkat usaha muktamad COC Laut China Selatan appeared first on Utusan Malaysia.


