
GEORGE TOWN: Pengisian dan inti pati Bulan Kebangsaan sangat memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej yang jelas untuk membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di seluruh negara khususnya Pulau Pinang.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sambutannya pada tahun ini juga diharapkan dapat memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara yang dipimpin Kerajaan Perpaduan.
“Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang tahun ini amat bererti kerana ini tahun pertama di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dengan tema Malaysia MADANI iaitu ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
“Ia diharap dapat memulihkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap negara ini sebab kita telah lalui beberapa tahun ketidakstabilan negara akibat politik mahupun ekonomi dan kini rakyat boleh menarik nafas lega apabila negara memasuki fasa pemulihan,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Pulau Pinang Tahun 2023 di Jalan Padang Kota Lama (Esplanade) di sini.
Pada majlis itu juga, Chow turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 melibatkan 40 kenderaan daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Sementara itu, Chow berkata penduduk Pulau Pinang diseru untuk bersama-sama menzahirkan rasa cinta kepada negara bersempena dengan kempen Bulan Kebangsaan pada tahun ini kerana penglibatan setiap rakyat adalah sangat penting dalam merancakkan lagi kehangatan sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya di peringkat negeri, kerajaan negeri menyokong penuh pelbagai program dan aktiviti yang telah dirangka bagi mengisi takwim sepanjang Bulan Kebangsaan ini.
“Marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk menzahirkan semangat dan rasa cinta kepada negara dengan mengambil bahagian dalam acara-acara yang telah disusun ini,“ katanya.
Beliau berkata kepelbagaian dalam perpaduan yang menjadi aspirasi kepada tema sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini dilihat mampu mendorong tekad dan komitmen semua pihak dalam membangunkan negeri serta negara dengan penuh rasa cinta.
“Dengan mengambil kira semangat Madani dan kecintaan terhadap negeri dan negara, berbanggalah dengan Jalur Gemilang walau di mana kita berada kerana Jalur Gemilang ialah lambang kebanggaan negara serta mampu membangkitkan semangat patriotik dan nasionalisme dalam hati setiap warga Malaysia,“ katanya. -Bernama

