
KOTA KINABALU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew dilantik sebagai Pengerusi Biro Politik (BiroPol) negeri bagi tahun 2024 hingga 2025.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu adalah bagi memperkukuhkan serta melancarkan gerak kerja organisasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.
Menurut beliau lagi, keputusan ini selaras dengan keputusan mengekalkan kepimpinan Christina untuk terus menerajui kepimpinan PH Sabah.
"Pelantikan ini adalah proses untuk melengkapkan struktur organisasi parti secara seimbang dan menyeluruh dari kalangan wakil cabang dari pelbagai kaum dan agama.
"Ini menunjukkan PKR kini telah pun bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila-bila masa dengan barisan kepimpinan yang baharu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dalam pada itu turut menyampaikan rasa dukacita berhubung musibah bencana banjir yang melanda beberapa kawasan terutama Penampang, Putatan dan Sepanggar.
"Jentera parti telah digerakkan untuk membantu dan memberi sumbangan mengikut keperluan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

