Chuck Norris Meninggal Dunia

Entertainment
20 Mar 2026 • 11:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Chuck Norris Meninggal Dunia

Bintang aksi Hollywood, Chuck Norris, 86, dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.

Memetik laporan AFP, berita duka itu telah dikongsikan oleh ahli keluarga pelakon Walker, Texas Ranger itu di Instagram.

“Dengan hati yang berat, keluarga kami ingin berkongsi mengenai pemergian mengejut insan yang kami sayangi, Chuck Norris, pagi semalam.

"Kepada dunia, beliau adalah seorang pakar seni mempertahankan diri, pelakon dan simbol kekuatan. Kepada kami, beliau seorang suami yang setia, bapa dan datuk yang penyayang, abang yang luar biasa, serta nadi keluarga kami," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, keluarga memaklumkan mereka mahu merahsiakan butiran lanjut mengenai pemergiannya, sambil menambah bahawa beliau dikelilingi ahli keluarga dan dalam keadaan tenang.

Media Amerika Syarikat melaporkan pada Khamis bahawa Norris dimasukkan ke hospital akibat keadaan yang tidak didedahkan ketika berada di pulau Kauai, beberapa hari selepas beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-86 dengan memuat naik video berlatih tinju di media sosial.

Pakar seni bela diri yang beralih menjadi pelakon itu membintangi pelbagai filem aksi sejak penampilan pertamanya menerusi watak kecil dalam filem “The Wrecking Crew” lakonan Dean Martin pada 1968.

Empat tahun kemudian, pertarungan epiknya dengan bintang kung fu terkenal Bruce Lee dalam filem “The Way of the Dragon” membantu mengangkat nama Norris sebagai ikon di layar perak dan televisyen.

image is not available
Kredit: AFP

Pengalaman bertugas di sebuah pangkalan udara di Korea Selatan ketika masih muda dalam Tentera Udara Amerika Syarikat mencetuskan minat Carlos Ray “Chuck” Norris terhadap seni mempertahankan diri.

Baca juga:

Minatnya terhadap tang soo do, seni bela diri Korea yang berasaskan karate, membawa Norris yang dilahirkan di Ryan, Oklahoma pada 10 Mac 1940 menewaskan ramai lawan di gelanggang, sekali gus melonjakkan dirinya ke status bintang layar.

Namun, Norris yang mengagumi John Wayne sejak kecil, sebenarnya menceburi bidang lakonan secara tidak dirancang.

Beliau meninggalkan Tentera Udara pada 1962 dan membuka studio seni bela diri di Los Angeles, menemui minatnya dalam mengajar serta memperagakan tendangan “roundhouse”.

Menjelang 1967, selepas meraih kejuaraan karate Amerika Syarikat di Madison Square Garden, Norris menjadi jurulatih pilihan selebriti seperti Steve McQueen, Priscilla Presley dan Donny Osmond.

Kejayaan “The Way of the Dragon” empat tahun kemudian mendorongnya mengikuti kelas lakonan.

Selepas itu, beliau membintangi pelbagai filem aksi, antaranya sebagai komando Amerika dalam “Good Guys Wear Black” serta filem aksi seram “Silent Rage”.

View Original Article