
Bukan sekadar haiwan peliharaan, seekor musang pandan bernama Cici menjadi teman istimewa yang menemani kehidupan Amie Ismail sejak lebih sedekad lalu.
Jika kucing dan anjing sering menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan, musang pandan juga mempunyai daya tarikan tersendiri apabila sifatnya yang manja dan mudah mesra mampu membuatkan pemiliknya menyayanginya seperti ahli keluarga sendiri.
Bagi Amie yang berasal dari Batu Pahat, Johor, minat terhadap musang pandan bermula selepas dia melihat seekor musang meniti wayar elektrik ketika dalam perjalanan pulang dari kerja.
“Saya jatuh cinta pandangan pertama apabila melihat musang meniti wayar elektrik sewaktu pulang kerja,” katanya kepada Seri.
Pemandangan itu membuatkan dia tertarik dan mula menyimpan rasa ingin mengenali haiwan tersebut dengan lebih dekat.
Daripada sekadar rasa ingin tahu, Amie akhirnya mula memelihara musang pandan pada 2014 selepas menerima seekor anak musang daripada rakannya.
Menurut Amie, anak musang berkenaan ditemui selepas kehilangan keluarga apabila musang lain ditangkap dan dilepaskan ke hutan, menyebabkan ia hanya tinggal seekor.
Sejak itu, anak musang tersebut dijaga dengan penuh perhatian sehingga diberi nama Cici dan menjadi sebahagian daripada keluarga Amie.
Manja dan mudah mesra
Menurut Amie, Cici mempunyai karakter tersendiri yang membuatkan dia semakin menyayanginya.
Katanya, musang pandan peliharaannya itu sangat mesra, kuat merajuk dan gemar dibawa berjalan-jalan sama ada menaiki kereta mahupun motosikal.
Bagi memastikan Cici sentiasa berada dalam keadaan selesa, Amie memberi perhatian terhadap rutin penjagaan harian terutama dari segi kebersihan, pemakanan dan kesihatan.
Sangkar Cici akan dibersihkan setiap hari kerana kebersihan menjadi keutamaan bagi memastikan haiwan itu berada dalam persekitaran yang selesa.
Dari segi pemakanan, Cici diberi makan tiga kali sehari dengan campuran buah-buahan dan ayam rebus, manakala vitamin diberikan seminggu sekali.
Antara makanan kegemarannya ialah durian Musang King selain ayam rebus yang dicarik dan dicampur bersama nasi berlauk kicap manis.
Bagaimanapun, Amie berkata, makanan seperti coklat perlu dielakkan kerana tidak sesuai dengan pola pemakanan semula jadi musang pandan.

Perlu dijinakkan sejak kecil
Amie berkata, musang pandan lebih mudah dijinakkan sekiranya dipelihara sejak kecil kerana proses membina kepercayaan dengan manusia memerlukan masa dan kesabaran.
Katanya, anak musang memerlukan penjagaan rapi termasuk pemberian susu setiap empat jam pada peringkat awal.
“Kalau sudah dewasa, memang sukar untuk dijinakkan,” katanya.
Walaupun Cici sudah biasa dengan manusia, Amie mengakui terdapat cabaran sepanjang memelihara haiwan tersebut.
Antara cabaran utama ialah apabila dia perlu meninggalkan Cici kepada orang lain, terutama ketika ingin keluar berjalan-jalan.
Menurutnya, sesetengah musang pandan sukar menerima kehadiran individu yang tidak dikenali, menyebabkan penjagaan oleh orang lain menjadi lebih mencabar.
Gelagat merajuk mencuit hati
Bagi Amie, antara perkara paling diingati sepanjang menjaga Cici ialah gelagat musang pandan itu yang gemar merajuk apabila tidak dibawa berjalan seperti yang dijanjikan.
Katanya, Cici akan menunjukkan perubahan sikap dengan memalingkan muka ke dinding dan tidak mahu menoleh apabila diajak bersembang.
Kehadiran Cici turut diterima baik oleh keluarga Amie yang sememangnya pencinta haiwan.
Menurutnya, sokongan keluarga menjadikan pengalaman memelihara musang pandan lebih mudah dan bermakna.

Bukan haiwan perosak
Katanya, masih ramai yang mempunyai tanggapan bahawa musang merupakan haiwan perosak dan ganas.
Bagaimanapun, katanya, tanggapan itu tidak tepat kerana musang pandan sebenarnya boleh menjadi haiwan yang manja apabila dijaga dengan baik.
“Musang bukan haiwan yang ganas. Mereka sebenarnya manja, cuma di alam liar mereka perlu mencari makanan mengikut rantaian makanan semula jadi,” katanya.
Menurutnya, individu yang bercadang memelihara musang pandan perlu memahami keperluan haiwan tersebut terlebih dahulu, termasuk mendapatkan lesen daripada Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Musang pandan merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Dari segi kos penjagaan, Amie menganggarkan perbelanjaan sekitar RM200 hingga RM300 sebulan merangkumi makanan, minuman dan vitamin.
Bagi Amie, pengalaman memelihara Cici memberikan pemahaman baharu bahawa musang pandan bukan sekadar haiwan liar, malah mampu membina hubungan rapat dengan manusia.
Selain menjadi teman setia, Cici turut memperkenalkan Amie kepada komuniti pemilik musang untuk berkongsi ilmu serta pengalaman berkaitan penjagaan haiwan tersebut.
“Daripada situ saya faham bahawa musang juga haiwan yang manja dan comel. Ia juga dapat mengeratkan hubungan persahabatan melalui perkongsian ilmu,” katanya.
Baginya, Cici bukan sekadar musang pandan peliharaan, tetapi bukti bahawa haiwan yang sering disalah anggap juga mampu menjadi teman istimewa apabila dijaga dengan ilmu, kesabaran dan penuh kasih sayang.
The post Cici, musang pandan manja yang suka merajuk appeared first on Utusan Malaysia.
