CIIF, JPPKK meterai MoU bangunkan bakat muda dalam industri kewangan Islam
zulfadli
29/11/2023 - 16:17
KUALA LUMPUR 29 Nov - Institut Kewangan Islam Profesional Bertauliah (CIIF) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk membangunkan lebih ramai bakat muda yang serba boleh dan kompeten di negara ini dengan menyumbang lebih besar kepada industri kewangan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif CIIF, Dr Azura Othman berkata, MoU itu menandakan langkah strategik yang kukuh untuk memupuk kerjasama dan inisiatif yang lebih bermakna dengan JPPKK dalam mempromosikan bakat berkualiti tinggi kewangan Islam dalam kalangan graduan politeknik dan kolej komuniti di Malaysia.
Beliau berkatam, MoU itu membolehkan JPPKK dan CIIF menstruktur semula serta membuat pembaharuan secara rasmi kepada kurikulum semasa Diploma Perbankan dan Kewangan Islam di politeknik dan kolej komuniti.
Katanya, ia membuka laluan kepada pengubahsuaian program diploma ini kepada kelayakan profesional, yang seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“CIIF berharap untuk menyokong dengan memartabatkan sistem pendidikan keseluruhan dari segi melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran semasa dan praktikal dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam, serta meningkatkan pertumbuhan profesional pensyarah dengan menyediakan mereka pandangan industri terkini dan strategi pengajaran.
“Kami menjangka dapat merapatkan semua jurang sedia ada dengan bermulanya MoU ini serta mempertingkatkan lagi ekosistem ekonomi negara dengan mengisi jurang bakat di seluruh industri dan semua sektor perniagaan.
"Ini adalah tepat pada masanya dengan peningkatan permintaan untuk profesional kewangan Islam, yang bukan sahaja dalam industri perbankan dan kewangan tetapi juga industri halal," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Selain pembangunan bakat dan pemetaan kurikulum, MoU itu juga menggariskan bidang kerjasama lain yang berpotensi termasuk pembangunan profesional, penyelidikan, inovasi, perkongsian kepakaran dan bidang pendidikan dan latihan lain yang dipersetujui bersama. MoU ditetapkan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun.

CIIF diiktiraf sebagai salah satu penasihat industri dan antara yang hadir pada majlis pertukaran MOU anjuran JPPKK.
CIIF ialah sebuah badan profesional untuk pengamal bertauliah dalam industri kewangan Islam yang ditubuhkan sejak 2015. Sehingga kini, ia mempunyai seramai 1,480 ahli di seluruh dunia. - DagangNews.com


