'Cikgu Hasnatul Adila sempat tanya keadaan anak sebelum meninggal'

9 Jun 2024 • 12:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahli keluarga mangsa dan rakan-rakan mangsa kemalangan rombongan guru yang hadir di Unit Forensik Hospital Muadzam Shah pada Ahad.

ROMPIN - [DIKEMAS KINI] Mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau awal pagi tadi, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat bertanyakan keadaan anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

Perkara itu dikongsikan rakan setugasnya Asmaniza Mohamad, 50, yang memaklumkan Hasnatul Adilah yang juga Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Jeram, Melaka ditemukan dalam keadaan tertiarap di luar bas.

"Arwah sempat tanya keadaan anak bongsunya yang turut sama dalam bas berkenaan, saya cakap anaknya ada di dalam bas, seorang rakan kami sempat mengajarnya mengucap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Muadzam Shah di sini pada Ahad.

Berkongsi detik cemas itu, Asmaniza yang dikenali sebagai Cikgu Za berkata, ketika kejadian beliau yang berada di bahagian belakang bas sedang tidur, namun terkejut apabila dihempap penumpang lain selepas bas berkenaan terbalik.

"Ketika itu memang gelap dan hanya (kedengaran) bunyi berlanggar, saya cuba untuk buka pintu kecemasan tetapi tidak boleh, namun berjaya keluar melalui pintu kecil di bahagian atas bas," katanya.

Difahamkan anak lelaki Hasnatul Adilah dikenali sebagai Farouq berusia 12 tahun sedang mendapatkan rawatan di zon kuning hospital tersebut.

Nahas itu mengorbankan tiga individu termasuk Hasnatul Adilah selain seorang lagi guru Hamzah Ahmad, 60, dan pemandu bas kedua, Hadi Ashraf Mad Idris, 29.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, bas yang membawa 39 penumpang temasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!