Cikgu Shukri dihormati kawan dan lawan

LocalPolitics
23 Nov 2022 • 1:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KANGAR: Memiliki perwatakan dan personaliti yang sentiasa merendah diri menjadikan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli (gambar) seorang pemimpin yang disayangi, dihormati dan disegani oleh kawan mahupun lawan dalam dunia politik.

Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berkata keputusan memilih Mohd Shukri dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS selepas menilai beberapa aspek termasuk dari sudut keperibadian dan akhlak seperti yang dikehendaki oleh Majlis Syura Ulama PAS.

“PAS telah memerintah beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, oleh itu kita yakin bahawa beliau (Mohd Shukri) mampu memulakan pentadbiran baharu di negeri ini.

“Apa yang penting ialah beliau sentiasa membuat kerja kerana Allah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis Azizan Sulaiman berkata beliau percaya Mohd Shukri mampu memikul tugas sebagai Menteri Besar kerana mempunyai pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang selama tiga penggal sejak 2013.

“Dengan pengalaman menguruskan kawasan itu (Sanglang), Mohd Shukri dilihat mampu untuk meneruskan kerja yang telah dilakukan oleh kepimpinan terdahulu,” katanya.

Azizan berkata bekas Exco BN bersedia untuk memberi pandangan kepada Mohd Shukri sekiranya diperlukan dalam mengurus tadbir negeri ini.

Adun Indera Kayangan Gan Ay Ling daripada Pakatan Harapan (PH) berkata Menteri Besar baharu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Shukri’ ialah seorang yang ramah dan disegani oleh kerajaan mahupun pembangkang dalam DUN sejak zaman pentadbiran BN lagi.

“Perwatakan beliau yang baik dan akhlaknya menjadikan ramai pemimpin di sini senang untuk mendekatinya malah beliau seorang yang mudah dibawa berbincang terutama membabitkan isu pembangunan dan rakyat,” katanya.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau semalam.

Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).-Bernama