Cikgu Soupi 'pecahkan' pagar rumah beri penduduk guna tandas

15 Dec 2022 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wan Mohd Zain (kiri) menunjukkan pagar rumah Cikgu Soupi yang diruntuhkan bagi memberi peluang kepada 69 mangsa banjir di Masjid Mukim Padang Licin untuk menggunakan tandas di rumahnya.

image is not available
Salah seorang penghuni PPS menunjukkan kedalaman air yang menenggelamkan tandas sejak Sabtu lalu.

RANTAU PANJANG - Seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Soupi berjiwa besar apabila sanggup 'memecahkan' binaan pagar rumahnya bagi memberi peluang kepada mangsa banjir di Masjid Mukim Padang Licin untuk menggunakan tandas.

Tindakan itu dilakukan selepas tandas di masjid berkenaan yang berada di kawasan rendah sering ditenggelami air setiap kali banjir.

Penghulu Mukim Gua Mesa, Wan Mohd Zain Wan Jaafar berkata, beliau mewakili seluruh mangsa banjir seramai 69 orang yang berlindung di masjid berkenaan menzahirkan rasa terima kasih di atas bantuan itu.

"Apa yang dilakukan oleh Cikgu Soupi amat membantu mangsa banjir terutama ketika mahu membuang air kecil atau air besar.

"Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalas jasa baik Cikgu Soupi dan keluarganya," katanya.

Menurut beliau, pagar tersebut dipecahkan kerana laluan masuk ke rumah cikgu berkenaan turut dinaiki air dan hanya laluan itu yang selamat untuk dilalui.

Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati Kampung Padang Licin masih lagi ditenggelami air.

Seramai 69 mangsa daripada 21 keluarga masih berada di masjid berkenaan selepas rumah mereka ditenggelami banjir sejak Sabtu lalu.

View Original Article