CIMB antara peneraju usaha mengangkat agenda lestari industri perbankan – RHB Investment
diyana
22/03/2024 - 10:37
KUALA LUMPUR 22 Mac - RHB Investment menganggap CIMB Group Holdings Berhad sebagai antara syarikat yang menerajui agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri dan kumpulan perbankan itu terus pilihan utama bagi sektor ini.
Firma penyelidikan itu berkata, CIMB menerajui usaha dalam mengangkat agenda kelestarian berdasarkan skor ESG syarikat yang teratas dalam industri.
“Skor ESG baharu kami sebanyak 3.3 daripada 2.9 sebelum ini adalah yang tertinggi di dalam negara.
“CIMB kekal menjadi pilihan utama sektor ini kerana kami dapati adanya potensi untuk harga sahamnya terus menaik berikutan ramalan kenaikan perolehan oleh konsensus, kualiti aset yang kian bertambah baik dan potensi untuk meraih pulangan modal tambahan daripada inisiatif pengoptimuman modal,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan kumpulan dan mengekalkan saranan ‘beli’, namun menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM7.60 sesaham daripada RM7.35 sebelumnya,
TP baharu itu disemak naik setelah mengenakan premium ESG baharu sebanyak 6% (diskaun 2% sebelum ini) pada nilai intrinsik syarikat ini, iaitu pada RM7.15.
Firma berkenaan mendedahkan bahawa antara FY22 dan FY19, CIMB berjaya merekodkan penurunan sebanyak 18% untuk pelepasan karbon Skop 1, 2 dan 3 (dalaman), selain menjadi antara dua syarikat terawal yang mula melaporkan pelepasan Skop 3 yang dibiayai.
Ia menambah bahawa CIMB juga merangka perancangan peralihan yang menyeluruh bagi pelanggan-pelanggannya yang berisiko tinggi berdepan kesan ESG daripada operasi sektor simen dan pelombongan arang batu terma.
“Ketika majlis Hari Korporat ESG anjurannya baru-baru ini, pihak CIMB menyemak naik sasaran pembiayaan kelestariannya untuk tahun 2024 kepada RM100 bilion daripada RM60 bilion selepas berjaya mencapai sasaran awal tersebut sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Seterusnya, CIMB turut mengumumkan tawaran khidmat nasihat baharu untuk membantu syarikat korporat yang ingin membangunkan projek kredit karbon dan menerbitkan kredit karbon di Bursa Pertukaran Karbon Malaysia,” tambahnya.
Pada pukul 10:36 pagi, saham CIMB susut 2 sen atau 0.3% kepada RM6.53 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM69.6 bilion. - DagangNews.com


