CIMB bawa pulang 9 anugerah Islamic Finance News 2023
zulfadli
22/05/2023 - 16:33
KUALA LUMPUR 22 Mei - CIMB Group Holdings Bhd berjaya membawa pulang sebanyak 9 anugerah pada Islamic Finance News (IFN) Awards yang berlangsung baru-baru ini bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam bidang kewangan Islam.
Penganjur dalam kenyataan memaklumkan, CIMB Islamic memenangi Bank Islam Keseluruhan Terbaik Malaysia, Bank Pelaburan Islam Terbaik serta Tawaran Ekuiti dan tawaran harga permulaan (IPO) 2023, Urus Niaga Kewangan Berstruktur Tahunan dan Urus Niaga Malaysia Terbaik.
Manakala, CIMB Niaga Syariah meraih anugerah Indonesia untuk Bank Korporat Islam Terbaik, Bank Pelaburan Islam Terbaik, Bank Islam Paling Inovatif dan Bank Islam Keseluruhan Terbaik.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia telah dinobatkan sebagai Bursa Saham Terbaik dunia penyenaraian Islam, untuk tahun keenam berturut-turut.
Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) merangkul anugerah 'IFN Deal of the Year' untuk Malaysia dan Kewangan Berstruktur.
"Sukuk berasaskan Tawarruq bernilai RM5.5 bilion (AS$1.21 bilion) syarikat itu mempamerkan inovasi dalam landskap kewangan Islam, memastikan tiada kebocoran cukai atau dividen sepanjang tempoh sukuk," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan ALR, Sazali Saidi; CEO AmInvestment Bank Tracy Chen; Pengarah Urusan/CEO Kumpulan Hong Leong Investment Bank, Lee Jim Leng; CEO Maybank Investment Bank, Fad'l Mohamed dan Pengarah Urusan dan Ketua Pasaran Hutang Serantau UOB, Lee Che Kong adalah antara penerima anugerah tersebut.

"IPO Farm Fresh yang disokong Khazanah Nasional bernilai RM1.1 bilion (AS$242.54 juta) adalah Tawaran Ekuiti dan IPO Terbaik 2023, dengan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Farm Fresh, Mohd Khairul Mat Hassan menerima anugerah itu bagi pihak penerbit," katanya.
Selain itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak, Dr Abdul Aziz Husain dan Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB Investment Bank, Syed Ahmad Taufik Albar menerima anugerah Projek & Perjanjian Infrastruktur Terbaik bagi Program Sukuk Wakalah Sarawak Petchem sebanyak RM6 bilion (AS$1.32 bilion).
Tawarruq rentas sempadan 122 juta pound sterling (AS$151.73 juta) PUNB memenangi Tawaran Terbaik Tahun United Kingdom yang menyokong projek Stesen Battersea di London.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan REDmoney, Andrew Morgan menekankan kepentingan anugerah IFN dalam mengiktiraf pencapaian industri kewangan Islam.
"Kami sangat teruja kerana berjaya menamatkan edisi ke-17 anugerah IFN, bukti pertumbuhan dan kecemerlangan berterusan dalam industri kewangan Islam," katanya. - DagangNews.com



