CIMB Foundation sumbang mesin mesin pengimejan mata bernilai RM1.3 juta kepada PPUM

19 Jun 2023 • 2:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB Foundation sumbang mesin mesin pengimejan mata bernilai RM1.3 juta kepada PPUM

diyana

19/06/2023 - 14:18

KUALA LUMPUR 19 Jun - CIMB Foundation telah menyumbang mesin pengimejan mata, teknologi Heidelberg Spectralis HRA+OCT SHIFT bernilai RM1.3 juta kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mesin itu dijangka dapat merawat hampir 50,000 pesakit yang mengalami penyakit kritikal berkaitan mata setiap tahun.

Mesin tersebut dilengkapi dengan teknologi canggih yang dapat memudahkan diagnosis dan rawatan, di samping berfungsi sebagai alat bantuan tambahan bagi menambah baik keupayaan penyelidikan dalam pelbagai bidang oftalmologi.

Menurut yayasan itu, sumbangan ini merupakan salah satu usaha untuk membantu mengatasi kekangan peralatan canggih dalam industri perubatan untuk penyakit mata kritikal, serta membantu mereka menawarkan penjagaan kesihatan mata yang optimum dan tepat.

“Kini, status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai populasi matang semakin meningkat dengan penduduk berumur 65 tahun ke atas dijangka akan membentuk sebanyak 14.5% daripada keseluruhan jumlah penduduk menjelang tahun 2040.

“Justeru, mesin ini akan dapat meningkatkan daya upaya PPUM untuk membantu kumpulan sasaran tersebut dengan memberikan penjagaan yang lebih holistik untuk merawat penyakit berkaitan mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, CIMB Foundation berkata PPUM akan dapat menyampaikan pengajaran berkualiti tinggi dalam teknologi pengimejan kepada pelajar prasiswazah dan pasca siswazah dalam bidang oftalmologi melalui penggunaan teknologi HRA+OCT SHIFT.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berbesar hati dapat memberikan sokongan padu kepada PPUM dalam membantu mengatasi kekangan yang dihadapi oleh sektor penjagaan kesihatan, di samping membantu pengamal perubatan merawat salah satu penyakit kritikal negara.

“Didorong oleh salah satu teras kami iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Komuniti, kami berharap sumbangan ini dapat membantu pengamal perubatan memajukan kajian dan rawatan oftalmologi untuk manfaat seluruh rakyat Malaysia dan memberikan mereka penjagaan terbaik khusus untuk merawat penyakit berkaitan mata,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan berkata pusat perubatan itu yakin mesin baharu tersebut dapat meningkatkan kecekapan penjagaan pesakit di samping menggalakkan lebih banyak penyelidikan perubatan dan membantu dalam latihan perubatan bagi pakar oftalmologi pada masa hadapan.

“Langkah penjagaan yang baik akan dilaksanakan bagi memastikan teknologi ini dapat memberi manfaat kepada pesakit dan pakar PPUM untuk tahun-tahun akan datang.

“Kami berharap agar masyarakat kita akan menghargai dan mengambil maklum akan kepentingan penjagaan dan kesihatan mata,” kata beliau. -DagangNews.com