CIMB Islamic, Petronas meterai perjanjian induk tahawwut pertama bagi derivatif komoditi patuh syariah

Business & Finance
5 Mar 2024 • 2:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB Islamic, Petronas meterai perjanjian induk tahawwut pertama bagi derivatif komoditi patuh syariah

diyana

05/03/2024 - 14:32

KUALA LUMPUR 5 Mac - CIMB Islamic Bank Berhad dan Petronas telah menandatangani perjanjian induk tahawwut (TMA) sulung untuk derivatif komoditi patuh syariah.

Pemeteraian TMA menandakan usaha Petronas ke arah derivatif patuh syariah, menjadikannya syarikat pertama di Malaysia yang menggunakan instrumen lindung nilai komoditi patuh syariah CIMB Islamic untuk dagangan Derivatif Komoditi Tenaga Islam, katanya dalam satu kenyataan media bersama hari ini.

TMA merupakan perjanjian rangka kerja berbilang produk yang dirangka oleh Persatuan Swap dan Derivatif Antarabangsa (ISDA) dengan kerjasama Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM) untuk mentadbir urus niaga derivatif patuh syariah.

TMA menyediakan pasaran dengan syarat yang diterima dan diseragamkan secara global untuk produk lindung nilai Islam, yang akan memacu pertumbuhan produk lindung nilai Islam di pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman berkata, kerjasama dengan Petronas menyumbang kepada pembangunan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), selaras dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan digariskan oleh Bank Negara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama bagi Perbankan Borong Kumpulan dan Ketua Perbendaharaan Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei menambah, kerjasama terbabit sememangnya tepat pada masanya memandangkan instrumen patuh syariah dalam pasaran hari ini semakin berkembang dan permintaan turut meningkat.

“TMA pastinya akan membuka jalan kepada Petronas untuk menguruskan urus niaga lindung nilai masa depannya dan kami terus menyasarkan untuk memupuk kerjasama yang lebih sinergi dengan pelanggan korporat lain pada masa hadapan untuk terus mempergiat segmen menarik ini,” ujar beliau dalam kenyataan selepas TMA dimeterai di Menara Berkembar Petronas hari ini.

Naib Presiden Perbendaharaan Petronas, Freida Amat berkata, akujanji TMA menunjukkan sokongan Petronas dalam memajukan pembangunan Derivatif Patuh Syariah di dalam negara dan di peringkat global.

“Penggunaan derivatif di bawah TMA akan membolehkan Petronas menguruskan pendedahan dengan cara yang patuh syariah. Kami kekal menyokong pertumbuhan industri kewangan Islam dan kami percaya bahawa kerjasama ini boleh menyokong lebih banyak rumusan kewangan Islam pada masa hadapan,” tambahnya.

CIMB telah memainkan peranan aktif dalam memacu pertumbuhan kewangan Islam dan mampan. Penerimaan perjanjian induk global menjadi petanda baik dengan pembangunan Malaysia sebagai pasaran antarabangsa untuk kewangan Islam dan sejajar dengan pelan strategik Forward23+ kumpulan.

Sepanjang tiga tahun lalu, CIMB telah melaksanakan beberapa urus niaga pembiayaan mampan yang penting, termasuk derivatif berkaitan kemampanan (SLD) pada Oktober 2021, iaitu transaksi SLD dalam denominasi ringgit Malaysia pertama di dunia.

Pada 2023, kumpulan itu meningkatkan sasaran kewangan mampan tiga kali ganda kepada RM100 bilion menjelang 2024 selepas mencapai sasaran awal berjumlah RM30 bilion dua tahun lebih awal daripada jadual. - DagangNews.com