CIMB perkenal cawangan pertama dengan ciri kelestarian bersepadu di IOI City Mall Putrajaya

7 Aug 2023 • 9:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB perkenal cawangan pertama dengan ciri kelestarian bersepadu di IOI City Mall Putrajaya

zulfadli

07/08/2023 - 09:28

KUALA LUMPUR 7 Ogos - CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad memperkenalkan cawangan pertama dengan ciri-ciri kelestarian bersepadu di IOI City Towers @ IOI Resort City, Putrajaya, sebuah bangunan hijau yang disahkan oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Cawangan ini adalah yang pertama dari CIMB yang mengintegrasikan unsur-unsur mesra alam serta pendekatan sosial yang inklusif merentasi reka bentuk dan operasinya, justeru membolehkan bank mengurangkan impak alam sekitar dan memupuk persekitaran perbankan yang lebih inklusif.

Sejajar dengan agenda kewangan lestarinya, CIMB akan mengambil pendekatan yang mengutamakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam mempromosikan rangkaian rumusan perbankan konvensional dan Islamik di cawangan tersebut.

Tawaran yang disediakan oleh CIMB termasuk pembiayaan rumah hijau, pembiayaan kenderaan elektrik (EV), pembiayaan panel solar, produk pengurusan kekayaan berasaskan ESG, pembiayaan bagi golongan B40, dan juga deposit yang berfokuskan alam sekitar.

Sebagai bank pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan lestari yang lengkap, CIMB komited untuk menjadikan gaya hidup yang mampan lebih mudah dicapai oleh pelanggan serta penuh ganjaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan CIMB Group, Effendy Shahul Hamid berkata, perbankan bukan sahaja tertumpu kepada sesuatu produk atau perkhidmatan, tetapi juga tentang memastikan pihaknya prihatin dalam menjangka keperluan pelanggan dan memberikan mereka pengalaman perbankan yang terbaik pada setiap titik sentuh.

"Oleh sebab itu, kami berbangga untuk memperkenalkan cawangan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menunjukkan komitmen CIMB terhadap pendekatan sosial yang inklusif dan juga pengurangan impak terhadap alam sekitar.

"Di CIMB, kami percaya sepenuhnya dalam memastikan bahawa semua anggota masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas, dapat mengakses perkhidmatan kewangan dengan mudah.

"Melalui usaha berterusan kami dalam pendigitalan dan penambahbaikan kepada rangkaian cawangan CIMB untuk meningkatkan aksesibiliti, kami berhasrat untuk memastikan semua pelanggan berasa selesa dan dihargai semasa menjalankan aktiviti perbankan dengan CIMB," katanya dalam kenyataan media di sini.

Turut hadir pada pelancaran cawangan baharu itu, Pengerusi, CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad, Effendy Shahul Hamid, Ketua Perbankan Pengguna Malaysia CIMB, Daniel Cheong; Pengarah Serantau, Jualan dan Pengedaran Pengguna, Aiha Zawiah Idris; Ketua Jualan dan Pengedaran Pengguna 1, Albert Wong Gin Sang; Ketua Jualan dan Pengedaran Pengguna 2, Faridah Mohammad dan Pengurus Cawangan CIMB IOI City Mall, Maziani Othman.

Cawangan CIMB IOI City Mall dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang telah disesuaikan untuk pengalaman perbankan yang lebih inklusif.

Antaranya termasuk laluan keutamaan ATM yang memudahkan akses bagi pelanggan yang mempunyai keperluan khas, satu kemudahan yang disediakan buat kali pertama di seluruh rangkaian cawangan CIMB di Malaysia. Kemudahan lain yang disediakan termasuk perkhidmatan kerusi roda serta kaunter rendah untuk transaksi di kaunter.

Dalam menyokong komitmen CIMB berkenaan alam sekitar, cawangan ini turut mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Ciri-ciri ini termasuk penggunaan sistem penyejukan dan pencahayaan yang efisyen, bahan binaan mampan dengan kandungan kitar semula yang diperakui serta perabot pejabat lama yang digunakan semula.

Penyepaduan ciri-ciri kemampanan dalam rangkaian cawangan-cawangan CIMB akan menjadi tunjang utama pendekatan CIMB pada masa akan datang, selaras dengan komitmen CIMB untuk menerajui inisiatif operasi neutral karbon menjelang 2030.

CIMB akan berusaha untuk memastikan cawangan-cawangan baharu akan direka bentuk untuk mengurangkan pelepasan serta impak kepada alam sekitar.

Pada masa yang sama, pihak bank akan meneruskan usaha untuk mengubahsuai dan menambahbaik cawangan yang sedia ada dengan pemasangan lampu dan juga sistem penyejukan yang cekap tenaga, serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Ciri-ciri kecekapan tenaga cawangan ini turut melengkapkan inisiatif bank untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar secara keseluruhannya. CIMB Group komited untuk mencapai sasaran operasi neutral karbon menjelang tahun 2030, melalui pelepasan GHG Skop 1 secara langsung dan pelepasan GHG Skop 2 daripada penggunaan tenaga elektrik.

Selaras dengan komitmen ini, CIMB telah mengurangkan pelepasan GHG dalam rangkaian cawangannya di seluruh Malaysia sebanyak 16% dari tahun 2019 hingga 2022. CIMB menyasar untuk menggandakan pengurangan ini dalam tempoh dua tahun yang akan datang.

Selain itu, CIMB bermatlamat untuk mengukuhkan lagi insiatif kewangan yang inklusif dengan menambah baik aksesibiliti perbankan.

Sebagai contoh, ini termasuk komitmen CIMB untuk memastikan semua cawangannya di Malaysia dilengkapi dengan kerusi roda menjelang tahun 2023, serta menambah bilangan cawangan yang boleh diakses sepenuhnya melalui tanjakan kerusi roda pada tahun 2024.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan tawaran serta inisiatif mampan CIMB, sila layari http://www.cimb.com.my/sac. - DagangNews.com