CIMB Securities: Pembukaan RTS Link buka peluang kontrak bas RM190 juta setahun kepada HI Mobility

LocalBusiness & Finance
30 Jun 2026 • 11:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIMB Securities: Pembukaan RTS Link buka peluang kontrak bas RM190 juta setahun kepada HI Mobility Image from: CIMB Securities: Pembukaan RTS Link buka peluang kontrak bas RM190 juta setahun kepada HI Mobility amree30/06/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Jun — Pembukaan Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS Link) akhir tahun ini dijangka memberi kelebihan besar kepada HI Mobility Berhad meraih kontrak perkhidmatan bas pengantara.

 

Menurut analisis CIMB Securities, tender tersebut dianggarkan mencecah nilai kira-kira RM190 juta setahun, sekali gus akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan pendapatan syarikat berkenaan.

 

Jelas firma penyelidikan itu, kedudukan kukuh syarikat dalam operasi pengangkutan awam rentas sempadan meletakkannya antara calon terbaik menyertai pelaksanaan rangkaian perkhidmatan tersebut.

 

"RTS Link dijangka mengubah corak perjalanan harian penumpang antara Johor dan Singapura dengan turut mewujudkan peluang besar kepada HI Mobility menyediakan perkhidmatan sambungan," katanya.

 

Pandangan positif itu kata CIMB Secuities, disokong prestasi kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2026 apabila merekodkan hasil RM111.5 juta, melonjak 51.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Artikel berkaitan: Keuntungan HI Mobility pada 1QFY27 naik 13.5% kepada RM16.31 juta, prospek kekal cerah disokong RTS

 

Peningkatan itu dipacu sumbangan segmen pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan komersial yang disatukan ke dalam kumpulan ini susulan pengambilalihan Acacia Motor Services dan Handal BCM.

 

Segmen ini ujarnya, menyumbang hampir satu pertiga daripada keseluruhan hasil HI Mobility, manakala operasi teras perkhidmatan bas terus berkembang apabila hasil meningkat 6.5% tahun ke tahun (YoY).

 

"Prestasi ini turut disokong permintaan secara berterusan terhadap perkhidmatan bas berjadual serta kontrak laluan baharu di bawah program khas Bas Muafakat Johor sendiri," tambah CIMB Securities.

 

Operasi Causeway Link dikendalikannya terus menunjukkan asas yang kukuh apabila hasil meningkat 8.4% manakala keuntungan teras berkembang 18.7%, mencerminkan penambahbaikan kecekapan operasi.

 

Justeru HI Mobility berada pada kedudukan strategik memanfaatkan pelaksanaan RTS Link berikutan pengalaman luas dalam operasi pengangkutan awam serta rekod prestasi perkhidmatan rentas sempadan.

 

HI Mobility_DagangNews2026

CIMB Securities menganggarkan kontrak laluan bas pengantara RTS berpotensi menjana nilai RM190 juta setahun, dan meningkatkan keterlihatan pendapatan apabila projek itu mula beroperasi sepenuhnya.

 

"Selain itu, syarikat turut dijangka meraih manfaat pengembangan segmen kenderaan komersial apabila  menyerahkan 250 bas elektrik di bawah program pemodenan armada Prasarana Malaysia Berhad," katanya.

 

Integrasi Acacia dan Handal juga dijangka mewujudkan sinergi yang mengukuhkan keupayaan HI Mobility membida tender bas elektrik secara bersepadu meliputi pembekalan, operasi dan penyelenggaraan.

 

Sehubungan itu, CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.80 sesaham, walaupun harga saham syarikat berkenaan didapati mengalami penyusutan kira-kira 20% sejak awal tahun.

 

Situasi itu berikutan ketidaktentuan pasaran, dan firma itu percaya prospek pertumbuhan yang dipacu RTS Link, serta pengembangan perniagaan bas elektrik terus menyokong prestasinya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved