
CIMB Tawar Bantuan Bayaran Pelanggan Terjejas Konflik Timur Tengah
Selaras dengan komitmennya dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (secara kolektif “CIMB” atau “Bank”) hari ini mengumumkan langkah bantuan bersasar bagi menyokong pelanggan individu dan perniagaan yang terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik berterusan di Timur Tengah.
Langkah ini diwujudkan untuk meringankan tekanan kewangan jangka pendek, menyokong kelangsungan aliran tunai serta mengukuhkan keadaan sara hidup pelanggan dalam tempoh ketidaktentuan yang semakin meningkat.
Ia merangkumi bantuan yang disesuaikan untuk pelanggan individu dan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dengan mengambil kira keadaan kewangan masing-masing.
Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB berkata, “Dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, adalah penting untuk kita terus menyokong ekonomi dan memastikan pelanggan kekal berdaya tahan."
"CIMB komited untuk terus bersama pelanggan dalam menghadapi cabaran semasa, dengan memastikan sokongan kewangan sentiasa tersedia. Langkah ini bertujuan menyediakan bantuan yang tepat pada masanya dan praktikal bagi membantu pelanggan mengurus komitmen kewangan serta mengekalkan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh ini.”
Pelanggan yang layak boleh menikmati penangguhan bayaran sehingga enam bulan bagi kemudahan pinjaman dan pembiayaan.
Selain itu, pelanggan perniagaan juga boleh mendapatkan penyelesaian penstrukturan dan penjadualan semula (“R&R”) yang disesuaikan bagi membantu mengurus kewajipan bayaran balik serta mengekalkan operasi.
Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh membuat permohonan melalui borang Program Bantuan Bayaran yang tersedia di laman web CIMB, menghubungi Pengurus Perhubungan masing-masing atau mengunjungi mana-mana cawangan CIMB di seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.cimb.com.my/en/personal/help-support/relief-assistance/relief-and-support.html.

