CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

LocalPolitics
28 Jun 2026 • 11:23 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Gelanggang sukan, aktiviti kekeluargaan dan kehadiran masyarakat setempat menjadi gambaran bagaimana konsep kerjasama awam-tentera (Civil-Military Cooperation, CIMIC) diterjemahkan dalam suasana santai sempena Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di X-Park, Kluang hari ini.

Lebih daripada sekadar acara riadah, program itu menjadi wadah memperkukuh hubungan antara tentera dan rakyat, selari dengan keperluan pertahanan negara yang semakin menuntut penyertaan seluruh masyarakat.

Image from: CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

Bagi Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, penganjuran Hari Keluarga ATM merupakan sebahagian daripada usaha membina pasukan yang lebih kukuh dari dalam, di samping mengeratkan hubungan antara ATM dengan masyarakat melalui pendekatan CIMIC.

Menurut beliau, sesebuah organisasi ketenteraan yang berkesan memerlukan anggotanya bergerak dengan matlamat sama, disokong oleh semangat kekitaan yang lahir daripada hubungan erat sesama anggota serta keluarga.

“Kita percaya dengan penganjuran program seperti ini, maka antara anggota dan keluarga mereka akan dapat lebih kenal mengenali antara satu dengan yang lain.
“Hubungan silaturahim ini diperolehi melalui hubungan dan pergaulan dan dengan ini dapat mencapai apa-apa tugasan dan objektif yang dihasratkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga ATM Zon Selatan di X-Park, Kluang, Johor, hari ini.

Image from: CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

Lebih daripada itu, Mohamed Khaled melihat Hari Keluarga ATM sebagai jambatan yang merapatkan jurang antara kem tentera dengan komuniti sekeliling.

Katanya, pembabitan masyarakat dalam program anjuran ATM penting bagi membina hubungan yang lebih akrab, sekali gus meningkatkan kefahaman rakyat terhadap peranan pasukan keselamatan negara.

“Kita juga mengambil peluang menjemput masyarakat di luar untuk sama-sama menyertai program yang dianjurkan oleh ATM.
“Tujuan kita ialah supaya ada hubungan yang baik, yang rapat, yang akrab antara masyarakat dan juga tentera,” ujarnya.

Beliau berkata, hubungan itu semakin penting memandangkan landskap keselamatan negara kini jauh berbeza berbanding dahulu, apabila ancaman tidak lagi hanya berbentuk ketenteraan semata-mata.

Melalui interaksi bersama ATM, masyarakat dapat didedahkan kepada ancaman keselamatan baharu sekali gus memahami bagaimana mereka boleh memainkan peranan dalam menyokong usaha mempertahankan negara.

“Masyarakat juga boleh disedarkan mengenai ancaman-ancaman pertahanan yang baharu, dan masyarakat juga boleh mengambil tindakan ataupun melakukan penyesuaian supaya mereka boleh membantu ATM dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohamed Khaled turut mengingatkan bahawa kekuatan pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada kesiapsiagaan anggota ATM, tetapi turut dipengaruhi oleh tahap perpaduan dan semangat patriotisme rakyat.

Image from: CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

Menurutnya, usaha mempertahankan negara akan menjadi lebih sukar sekiranya masyarakat sendiri gagal memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

“Jangan ATM kita bersedia mempertahankan negara tetapi rakyat tak jaga kestabilan, rakyat menggalakkan pecah belah di luar sana, rakyat tidak ada semangat sayangkan negara, rakyat langsung tidak ada nilai patriotisme,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan ATM perlu terus membuka ruang kepada penglibatan komuniti agar keyakinan dan kefahaman rakyat terhadap peranan pasukan keselamatan dapat diperkukuhkan.

“Kita mesti melibatkan masyarakat supaya masyarakat mempunyai kefahaman dan kesedaran bagaimana mereka boleh bantu ATM kita,” ujarnya.

Untuk makluman, karnival yang menghimpunkan lebih 2,600 anggota ATM bersama keluarga itu bukan sekadar acara riadah, sebaliknya mencerminkan komitmen Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam memperkukuh kesejahteraan warga pertahanan serta memperkasa CIMIC selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Berlandaskan pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WoGoS), pelbagai aktiviti seperti futsal, badminton, galah panjang dan sepak bulu ayam dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara anggota ATM, keluarga serta masyarakat.

Image from: CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

Penganjuran di lokasi awam itu turut membuka ruang kepada orang ramai mengenali peranan ATM dengan lebih dekat, sekali gus memupuk semangat patriotisme dan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan negara.

Sementara itu, dalam sidang media selepas program tersebut, Mohamed Khaled menjelaskan Hari Keluarga ATM yang diperkenalkan sejak tahun lalu bukan sekadar platform mengeratkan silaturahim, malah menjadi sebahagian daripada usaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga ATM.

Jelasnya, MINDEF mahu anggota mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat selain memberi penekanan terhadap kesihatan fizikal serta mental bagi memastikan tahap kesiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kita memang mahu supaya anggota-anggota ATM terlibat dalam aktiviti yang berfaedah dalam mengisi masa lapangnya dan tidak mahu mereka terjerumus dalam apa-apa tindakan yang tidak memberikan manfaat.
“Pada masa yang sama, kita tekankan kepada soal kesihatan tubuh dan mental anggota-anggota ATM supaya ia menyumbang kepada soal kesiagaan mereka sebagai anggota ATM,” kata Mohamed Khaled.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep pertahanan menyeluruh kini perlu dilihat dalam konteks ancaman moden yang semakin kompleks.

Tambahnya, serangan terhadap sesebuah negara tidak lagi semestinya bermula di medan perang, sebaliknya boleh menyasarkan masyarakat melalui media sosial atau infrastruktur kritikal seperti kemudahan bekalan air dan tenaga.

Justeru, beliau menegaskan penyertaan rakyat dalam aspek pertahanan bukan bermaksud orang awam perlu mengangkat senjata, sebaliknya memainkan peranan sebagai komuniti yang peka, bertanggungjawab dan sentiasa membantu menjaga keselamatan negara.

“Hari ini kalau berlaku apa-apa ancaman atau serangan, ia tak semestinya terus pergi kepada ATM. Kadang-kadang ia melibatkan masyarakat melalui media sosial ataupun fasiliti-fasiliti air dan tenaga yang menjadi sasaran pihak yang tidak berniat baik kepada negara.
“Bila kita kata pertahanan negara turut perlu mendapat penyertaan rakyat, bukannya kita mensyorkan rakyat angkat senjata tetapi sekurang-kurangnya rakyat menjadi mata dan telinga, memantau kawasan-kawasan penting dalam negara serta sama-sama menyumbang kepada perpaduan dalam negara.” tambahnya.

Hadir sama ke program itu ialah Ketua Staf Am Markas Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Norsham Md Tap; Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Zulhelmi Masdar; serta Ketua Jurutera Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd Noh.

Image from: CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara

Bagi Mohamed Khaled, pertahanan negara pada masa depan bukan hanya bergantung kepada kekuatan aset dan keupayaan anggota ATM, tetapi turut dibina melalui hubungan yang kukuh antara tentera dan rakyat.

Melalui program seperti Hari Keluarga ATM, beliau yakin, kepercayaan, kefahaman dan semangat kebersamaan itu dapat dipupuk secara berterusan demi memastikan keselamatan negara menjadi tanggungjawab bersama.

The post CIMIC Diperkasa Melalui Hari Keluarga ATM, Rakyat Diajak Bersama Pertahan Negara appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved