Cinta monyet, belajarlah untuk ‘move on’

Family & Parenting
27 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Cinta monyet, belajarlah untuk ‘move on’

Remaja perlu dididik dengan kemahiran mengurus emosi dan menerima penolakan cinta bagi mengelakkan kekecewaan bertukar menjadi tindakan agresif, termasuk mengugut atau mencederakan orang lain.

Isu cinta monyet di bangku sekolah bukan perkara baharu, namun perkembangan media sosial dan pengaruh persekitaran menjadikan cabaran percintaan remaja hari ini semakin kompleks.

Pada pandangan penulis, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah perlu menjadi ruang membentuk ketahanan emosi supaya pelajar memahami bahawa cinta tidak semestinya berakhir dengan penyatuan.

Tragedi yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor apabila seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia pada 3 Oktober lalu, sepatutnya membuka mata semua pihak tentang seriusnya isu ini.

Susulan siasatan awal dijalankan, polis memaklumkan bahawa dendam suspek susulan penolakan cinta, termasuk ketidakpuasan hati terhadap hubungan mangsa dengan rakan baiknya, dipercayai antara menjadi motif.

Kes tersebut menjadi peringatan bahawa konflik perasaan dalam kalangan remaja bukan sekadar drama cinta di bangku sekolah kerana adakala boleh melangkaui batas manusia.

Pakar perunding keluarga (Kaunselor Berdaftar), Zumasni Rajikin berkata, pengalaman zaman kanak-kanak yang kurang kasih sayang, sering dimarahi, dipulaukan, dibuli atau berdepan penderaan boleh menjadi antara faktor yang mempengaruhi keupayaan seseorang mengurus emosi.

Menurutnya, individu yang tidak mendapat perhatian dan rasa disayangi mungkin terlalu mengharapkan penerimaan daripada seseorang sehingga sukar menerima kenyataan apabila perasaan tidak berbalas.

“Apabila perasaan itu ditolak, mereka berdepan kesukaran mengendalikan kekecewaan, terutama jika tidak mempunyai kemahiran mengurus emosi.

“Pengaruh media sosial termasuk TikTok dan Instagram berpotensi membentuk persepsi tidak realistik remaja terhadap percintaan, khususnya apabila mereka sering terdedah kepada kisah cinta yang berakhir dengan kebahagiaan,” katanya.

Beliau berkata, gambaran sedemikian boleh menyebabkan remaja menganggap perasaan cinta mesti dibalas, sedangkan mereka perlu memahami tidak semua hubungan akan memenuhi harapan sendiri.

Justeru, beliau berpandangan pendidikan emosi perlu diberikan perhatian sama seperti pencapaian akademik dan kokurikulum.

“Sekolah boleh mempertimbangkan sesi khas kemahiran mengurus emosi, termasuk bimbingan mengenai cara mengendalikan kemarahan, perasaan cinta dan penolakan,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa dan guru juga perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar, khususnya perbuatan mendesak, menghantar mesej berulang kali, mengekori individu yang diminati, mengugut atau menunjukkan kecemburuan melampau selepas cinta ditolak.

“Tingkah laku sedemikian tidak boleh dianggap sebagai bukti kasih sayang kerana setiap individu berhak menentukan pilihan dan batas pergaulan masing-masing.

“Jika wujud ancaman, individu terlibat mesti diutamakan dan bantuan diberikan segera,” pesannya.

The post Cinta monyet, belajarlah untuk ‘move on’ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved