Cinta tulus, wanita terima pemuda OKU sebagai teman hidup, mahu jaga hingga akhir usia

12 Sep 2022 • 10:52 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

CINTA yang tulus menjadi sandaran, keikhlasan hati seorang wanita berkongsi hidup bersama suami orang kelainan upaya (OKU) meraih perhatian warga maya.

Sebuah video memaparkan seorang wanita, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29, berjalan beriringan bersama suami, Muhammad Haziq Samrat, 27, menaiki papan selaju tular di laman sosial meraih perhatian warga maya.

Dalam majlis persandingan yang berlangsung, Nur Atiqah Amiera anggun memakai gaun berona merah bersama Muhammad Haziq menuju ke pentas untuk acara memotong kek. ketika majlis persandingan mereka di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut portal media tempatan, Nur Atiqah Amiera yang bekerja sebagai pembantu jururawat mendedahkan beliau yang memulakan langkah pertama hubungan.

image is not available

Beliau berkenalan dengan suaminya menerusi platform Bigo Live pada November 2020 dan tertarik dengan keperibadian lelaki itu.

“Kiranya, saya yang ‘mengayat’ suami dahulu pada awal perkenalan dan beliau awalnya tidak suka cerita keadaan dirinya. Jadi saya cuba juga kenali dia hingga pertemuan pertama kami pada 12 Disember 2020.

“Saya tidak kisah keadaannya macam mana, asalkan beliau memahami dan boleh mendidik saya. Malah keluarga juga tiada halangan serta terbuka menerima hubungan kami,” katanya.

image is not available
Kredit foto: Facebook Abdul Barr

Jika sudah jodoh tidak akan ke mana. Perkenalan bermula di laman sosial itu membawa ke jenjang pelamin apabila mereka melangsungkan akad nikah pada 23 Julai lalu.

Nur Atiqah Amiera berkata, tiada istilah terpaksa menerima pasangan OKU sebaliknya, beliau bersedia menjadi isteri yang menjaga kebajikan suami istimewanya sekali pun berhadapan persepsi masyarakat.

“Daripada awal saya sudah tahu keadaan suami, jadi sudah tetapkan hati dan minda untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Insya-ALLAH saya mahu menjaganya sehingga akhir usia kami,” katanya.

Muhammad Haziq yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal tidak pernah menduga akan berumah tangga.

image is not available
Kredit foto: Facebook Abdul Barr

“Saya tidak pernah menyangka akan berkahwin, sampai ke jenjang pelamin, namun inilah yang dinamakan takdir,” katanya yang tidak mengetahui ada pihak yang memuat naik video berkenaan ke laman sosial TikTok.

Muhammad Haziq yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan menjadi OKU sejak dilahirkan berkata sejak kecil telah diasuh untuk mengutamakan pendidikan.

Memegang Diploma Multimedia dan Animasi serta Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Muhammad Haziq tidak mempunyai halangan untuk bergaul dan mempunyai ramai rakan normal.

image is not available
Kredit foto: Facebook Abdul Barr

“Saya terbuka dan tiada halangan berkawan dengan sesiapa baik lelaki mahupun perempuan.

“Cuma, bab pasangan itu saja yang tidak pernah saya jangka, apatah lagi terfikir sama ada perempuan mahukan saya atau tidak.

“Rupanya, ada juga yang sudi menerima diri saya seadanya dan kepercayaan itu akan cuba saya balas dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami sebaiknya, menjaga dan mendidik isteri,” katanya.

Demikianlah kisah pasangan ini, perbezaan fizikal bukan penghalang mencipta bahagia. Warga maya turut menitip doa buat rumah tangga mereka berdua.

-“Tahniah adikku Haziq dan pasangan. Semoga ALLAH menghimpunkan yang terserak daripada keduanya, memberkati mereka berdua. Semoga ALLAH meningkatkan darjat keturunan mereka menjadi pembuka rahmat, sumber ilmu dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat” – Doa Nabi Muhammad pada hari pernikahan puterinya Fatimah dengan Ali.”

– “Alhamdulillah syukur kepada ALLAH SWT.”

– “Terbaik.”

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.