Cip keluaran Qualcomm kini akan menyokong lebih banyak model kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Mistral AI. Menerusi perjanjian yang diumumkan hari ini, model baharu Ministral 3B dan Ministral 8B akan dioptimasikan untuk dijalankan pada cip Snapdragon 8 Elite, Snapdragon Cockpit Elite, Snapdragon Ride Elite, dan siri Snapdragon X Series.

Ministral 3B ialah model pertama daripada Mistral AI yang direka untuk dijalankan terus dari sesebuah peranti. Kesemua model daripada Minstral AI akan boleh diakses menerusi Qualcomm AI Hub. Ini akan menambah pilihan model AI yang boleh digunakan oleh pembangun pada aplikasi yang dibangunkan. Sebelum ini model Mistral 7B v0.3 telahpun ditawarkan menerusi Qualcomm AI Hub.
Sejak terjun ke dalam arena AI yang dijalankan terus dari peranti tahun lalu, Qualcomm telah menggandakan kemampuan NPU pada kesemua SOC yang ditawarkan oleh mereka kepada pasaran. Penggunaan model terbina pada peranti akan mengurangkan keperluan data, memastikan keselamatan data kerana tidak perlu dihantar ke awanan dan paling penting sekali memberikan jawapan yang lebih pantas.


