johardy15/10/2026 - 18:40 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Citaglobal Berhad bercadang mengurangkan modal saham terbitannya sebanyak RM255 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul dalam penyata kewangan syarikat dan membolehkan pembelian balik sehingga 10% saham terbitannya.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari inni, cadangan pengurangan modal itu akan menghapuskan kerugian terkumpul sebanyak RM217.72 juta di peringkat syarikat setakat 30 Jun 2026, sekali gus menghasilkan keuntungan tertahan kira-kira RM37.06 juta selepas mengambil kira anggaran perbelanjaan berkaitan.
Cadangan pembelian balik saham itu boleh melibatkan sehingga 56.33 juta saham dengan nilai anggaran RM60.27 juta bagi tujuan ilustrasi, berdasarkan harga pembelian purata RM1.07 sesaham.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pembelian bergantung kepada keuntungan tertahan yang tersedia, sumber kewangan syarikat dan keadaan pasaran ketika pembelian dilaksanakan.
Citaglobal berkata, kerugian terkumpul tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian operasi terdahulu dan penjejasan nilai pelaburan dalam anak syarikat, khususnya sebelum pelaksanaan inisiatif pemulihan kumpulan bermula pada 2021.
Cadangan pengurangan modal itu akan mengurangkan nilai modal saham terbitan syarikat tanpa mengubah jumlah saham terbitan, pegangan saham pemegang saham atau aset bersih kumpulan, kecuali anggaran perbelanjaan berkaitan.
Langkah berkenaan juga bertujuan meningkatkan keupayaan Citaglobal untuk mengisytiharkan dan membayar dividen pada masa hadapan, selain memberikan fleksibiliti membeli balik saham apabila harga pasarannya berada di bawah nilai intrinsik berdasarkan penilaian lembaga pengarah.
Implikasi terhadap pengambilalihan
Cadangan pembelian balik saham itu berpotensi meningkatkan peratusan pegangan pemegang saham utama sedia ada, termasuk Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Setakat 30 September 2026, Norza mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung berjumlah kira-kira 31.17%, termasuk pegangan melalui TIZA Global Sdn Bhd.
Sekiranya Citaglobal melaksanakan pembelian balik saham sepenuhnya tanpa membeli saham daripada Norza atau TIZA Global, kepentingan gabungan mereka boleh meningkat kepada kira-kira 34.63%, melepasi ambang 33% yang boleh mencetuskan kewajipan membuat tawaran pengambilalihan mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki mengikut peraturan pengambilalihan Malaysia.
Citaglobal berkata, syarikat berhasrat melaksanakan pembelian balik saham dengan cara yang tidak mencetuskan kewajipan tersebut. Bagaimanapun, pemegang saham yang terlibat boleh memohon pengecualian daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sekiranya perlu.
Peratusan saham dalam pegangan awam syarikat juga boleh berkurangan daripada 33.30% kepada kira-kira 25.89% berdasarkan senario pembelian balik sepenuhnya, namun masih melebihi syarat minimum 25% yang ditetapkan Bursa Malaysia.
Memerlukan kelulusan pemegang saham
Citaglobal berkata, pembelian balik saham boleh dibiayai menggunakan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman luar atau gabungan kedua-duanya, tertakluk kepada kedudukan kewangan dan keperluan modal kerja kumpulan.
Syarikat turut menjelaskan bahawa pembelian balik saham boleh mengurangkan sumber kewangan tersedia, meningkatkan pinjaman sekiranya dibiayai melalui hutang serta menjejaskan kecairan dagangan sahamnya.
Cadangan pengurangan modal itu tidak melibatkan sebarang pembayaran tunai kepada pemegang saham atau perubahan kepada aset bersih kumpulan, kecuali anggaran perbelanjaan pelaksanaan sebanyak RM228,000.
Kedua-dua cadangan tersebut saling bersyarat dan memerlukan kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM), manakala pengurangan modal turut memerlukan kelulusan pemegang saham keutamaan tidak boleh tebus boleh tukar Siri B (ICPS-B).
Citaglobal menjangkakan cadangan pengurangan modal dapat diselesaikan menjelang suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan.
Astramina Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat kewangan bagi kedua-dua cadangan tersebut. - DagangNews.com






