Citaglobal, firma China meterai MoU RM15 bilion bagi projek sisa kepada tenaga di Malaysia
diyana
18/09/2023 - 14:41
KUALA LUMPUR 18 Sept - Citaglobal Bhd dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China, Shanghai SUS Environment Co Ltd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU), dengan komitmen pelaburan RM15 bilion daripada SUS untuk kerjasama dan pembangunan projek sisa kepada tenaga (WTE) di Malaysia.
MoU tersebut ditandatangani semasa Ekspo China-ASEAN ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN di Nanning, China pada 17 September 2023 dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim.
Citaglobal dalam satu kenyataan media hari ini berkata kedua-dua pihak berhasrat untuk meneroka potensi kerjasama dan menilai kebolehlaksanaan membangunkan loji janakuasa WTE terutamanya di Malaysia.
Cadagannya adalah untuk mengalihkan semua sisa daripada tapak pelupusan sampah yang tidak mampan ke loji WTE dan menyelesaikan semua masalah pelupusan sisa di Malaysia secara holistik.
Citaglobal berkata ia akan memainkan peranan utama dalam pembangunan projek WTE yang dicadangkan di Malaysia, sementara SUS bertanggungjawab untuk membiayai, membina dan mengendalikan projek-projek yang dicadangkan.

SUS adalah syarikat diperbadankan di China yang terbabit dalam rawatan sisa pepejal bandar, yang merupakan satu daripada 10 syarikat berpengaruh Dalam industri tersebut.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata sistem WTE bukan sahaja menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui bernilai tinggi, tetapi juga keupayaannya untuk menukar sisa kepada abu dengan ketara dapat mengurangkan jumlah sisa yang akhirnya dibuang di tapak pelupusan sampah.
“Kami melihat pembangunan sistem WTE sebagai situasi menang-menang untuk Malaysia. Selain melengkapkan sumber tenaga berasaskan bahan api fosil, sistem ini boleh menjana tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan keperluan tapak pelupusan, dan menjana pendapatan untuk majlis perbandaran dan kerajaan tempatan,” kata Norza.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shanghai SUS Environment Co Ltd, Cindy Li Haiyan berkata kerjasama dengan Citaglobal akan membantunya untuk meneraju pelaburan dalam pasaran WTE Malaysia dan yakin rekod prestasi kumpulan tersebut dapat menyediakan loji WTE yang moden, bersih dan cekap untuk rakyat Malaysia.
“Di Malaysia, 38,000 tan sisa pepejal dikumpul setiap hari dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang menggunakan kawasan seluas 150 ekar tanah setiap tahun. Kerajaan Malaysia telah menyedari keperluan mendesak ini dan telah merancang untuk membina satu loji WtE di setiap negeri.
“SUS bersama rakan kongsi kami, Hitachi Zosen Corp, telah berjaya melaksanakan 1,400 loji WTE di seluruh dunia. Kami ingin membuat pelaburan langsung asing (FDI) RM15 bilion ke dalam ekonomi Malaysia untuk tujuan ini,” ujar beliau.
Menurut Citaglobal, kerjasama tersebut selaras dengan sasaran kerajaan Malaysia untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40% pada 2035 dan 70% menjelang 2050, seperti mana yang diumumkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) pada Julai 2023. - DagangNews.com


