
PUTRAJAYA- Pencapaian pesawat amfibia Bombardier CL-415MP yang berjaya merekodkan 10,000 jam penerbangan dilihat mencerminkan sumbangan berterusan Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (APMM) dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Pesawat bernombor pendaftaran M71-01 (MSN 2068) yang mula berkhidmat pada 23 Januari
2009 telah menerima pengiktirafan daripada De Havilland atas pencapaian tersebut.
APMM dalam satu kenyataan berkata, dikendalikan oleh Skuadron Amphibious Stesen Udara Maritim Subang, pesawat itu menyokong misi pengawasan maritim, operasi mencari dan menyelamat selain pemadaman kebakaran dari udara serta bantuan kemanusiaan.
“Sepanjang perkhidmatannya, CL-415MP terlibat dalam pelbagai operasi penting, termasuk Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dan kapal tangki Orkim Harmony.
“Ia juga terlibat misi pemadaman kebakaran serta bantuan kemanusiaan ke Sumatera Selatan, Indonesia pada 2015,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post CL-415MP catat 10,000 jam penerbangan, perkukuh operasi APMM appeared first on Kosmo Online.



