Air Selangor tambah pili awam di kawasan terjejas bekalan air

22 Dec 2019 • 11:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam lagi lokasi pili awam akan ditambah mulai malam ini dan awal pagi esok bagi menyalurkan bekalan air kecemasan ke kawasan terjejas susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan malam ini, penambahan lokasi itu menjadikannya berjumlah 14 lokasi yang akan dimaklumkan menerusi media apabila siap.

Menurutnya, sehingga 3 petang tadi, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 70 lori tangki air, 14 lori tangki jumbo dan mengaktifkan 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam.

“Selain itu, edaran air botol lima liter sebanyak 2,268 botol kepada pengguna terutamanya yang berada di kediaman bertingkat juga dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor menjelaskan memandangkan insiden itu melibatkan kawasan berskala besar, pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan bantuan bekalan air melalui lori tangki kepada semua pengguna, namun bantuan lori tangki air diberikan keutamaan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan.

Justeru, Air Selangor menasihati pengguna yang terjejas agar mendapatkan bantuan air kecemasan di PKS dan pili awam yang disediakan bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bekalan air melalui lori tangki air.

Air Selangor turut memaklumkan pada masa ini pihaknya belum dapat menjangkakan loji boleh beroperasi semula kerana ia bergantung kepada tahap pencemaran dan sasaran pemulihan hanya akan dapat dianggarkan setelah loji kembali beroperasi.

Pengguna dinasihat merujuk aplikasi telefon bimbit 'Air Selangor' atau laman sesawang www.airselangor.com.my, Facebook 'Air Selangor ' dan Twitter @airselangor bagi mengetahui perkembangan berkaitan perkara itu. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved