Sistem kriptografi menjadi asas kepada pelbagai sistem simpanan data peribadi, proses edagang, penghantaran data di atas talian. Ia menyukarkan serangan siber dilakukan dan data pengguna dipintas semasa dihantar.
Anthropic pagi ini menerbitkan kertas kajian yang mengatakan model kecerdasan buatan (AI) Claude Mythos Preview menemukan dua kelemahan pada sistem kriptografi yang menjadikan proses melakukan serangan sehingga 800 kali lebih pantas berbanding jika dilakukan oleh manusia.

Dalam ujian yang dilakukan pertama, Claude Mythos Preview cuba memecahkan kriptografi Advanced Encryption Standard (AES) yang digunakan dalam penyulitan penghantaran data di atas talian. Mythos Preview mencipta singkatan matematik yang diberi nama “Möbius Bridge”. Proses memecahkan kriptografi AES 7 pusingan dipercepatkan antara 200-800 kali berbanding rekod yang dicatatkan oleh ahli kriptografi manusia pada tahun 2013.
Walaupun dipercepatkan, Claude Mythos Preview gagal memecahkan kriptografi ini dengan ia beberapa kali menyerah kalah dengan penyelidik memaksanya melakukan beberapa kali. Oleh itu penyelidik Anthropic berkata sistem kriptografi sedia ada masih lagi selamat cuma AI boleh digunakan untuk mempercepatkan proses memecahkannya berbanding manusia.
Di dunia sebenar, kriptografi AES 10 pusingan (data menjalani proses penyulitan 10 pusingan sebelum dihantar) digunakan dengan ia masih belum berjaya dipecahkan sejak digunakan pada tahun 2001. Pelbagai eksploitasi sistem yang ditemukan sebelum ini menganggarkan kriptografi AES 7 pusingan memerlukan 1 bilion tahun untuk dipecahkan.

Dengan Möbius Bridge sekalipun, penyerang masih memerlukan sekitar 1.25 juta tahun untuk menerobos sistem keselamatan menjadikan sistem AES 10 pusingan (128 bit) sedia ada masih lagi selamat.
Serangan kedua dilakukan ke atas kriptografi HAWK yang dibangunkan khusus untuk dunia kriptografi pasca kuantum (PQC). Ia adalah standard yang dicadangkan digunakan untuk menggantikan AES 10 pusingan.
Untuk konfigurasi kunci HAWK yang paling kecil, Mythos Preview berjaya mengurangkan kos kerja , daripada 2^64 operasi ke 2^38 operasi bersamaan pengurangan 67 juta kali ganda kerja. Sekali lagi walaupun kos kerja berjaya dikurangkan, Mythos Preview tidak berjaya memecahkan kriptografi yang digunakan. Pihak Anthropic telah menghubungi pembangun HAWK untuk memperkukuhkan algoritma yang digunakan bagi memperkukuhkan kriptografi yang masih belum digunakan di dunia sebenar.
Pihak Anthropic menggunakan lebih daripada 1 bilion token, 60 jam waktu memproses dengan kos $100,000 untuk setiap ujian memecahkan sistem kriptografi ini.
Sebagai kesimpulan kepada kajian ini, penyelidik di Anthropic mendapati Claude Mythos Preview masih belum boleh memecahkan dua sistem kriptografi utama tetapi membuktikan AI boleh mempercepatkan proses ia dilakukan berbanding manusia.
