Pada tahun 2022, empat syarikat pencetakan dari Jepun, termasuklah Kodansha, Shueisha, Shogakukan dan Kadokawa telah mendakwa bahawa syarikat pembekal perkhidmatan internet Cloudflare kerana merumahkan kandungan cetak rompak untuk sejumlah laman web yang menyebabkan kerugian besar kepada syarikat-syarikat tersebut.
Menurut saman yang difailkan, Cloudflare telah merumahkan kandungan dan meyamberi akses kepada lebih 4000 tajuk komik manga kepada dua laman web cetak rompak besar dengan kira-kira 300 juta tontonan setiap bulan.

Selepas tiga tahun, hakim kes tersebut, Aya Takahashi dilaporkan telah mengarahkan Cloudflare untuk membayar saman sebanyak 500 juta yen (~RM13.2 juta) kepada keempat-empat syarikat ini sebagai pampasan kerana merumahkan kandungan cetak rompak manga tersebut.
Hakim tersebut mengatakan bahawa walaupun Cloudflare tidak bersalah untuk memuat-naik kandungan cetak rompak tersebut ke mesin-mesin pelayan mereka yang berpengkalan di Amerika Syarikat, perkhidmatan mereka telah digunakan oleh laman-laman web cetak rompak ini untuk memuat-naik kandungan tersebut dengan sewenang-wenangnya.
Cloudflare juga dikatakan tahu bahawa laman-laman web ini telah memuat-naik kandungan cetak rompak, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk mengekang isu tersebut, dan oleh kerana itu, syarikat-syarikat ini tiada pilihan lain selain daripada untuk menyaman Cloudflare.
Pada tahun 2019, syarikat-syarikat ini dilaporkan telah mencapai kata sepakat untuk Cloudflare tidak lagi memberi perkhidmatan hos kepada laman-laman web cetak rompak, tetapi ia masih dilihat terus berleluasa, dan oleh kerana ini, prosiding saman keatas Cloudflare telah dilakukan.
Cloudflare juga dilaporkan akan memfailkan rayuan keatas keputusan yang ditetapkan oleh mahkamah Tokyo tersebut.
