CME seru pelaksanaan baucar khas sebagai alternatif subsidi bersasar

LocalBusiness & Finance
12 May 2026 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CME seru pelaksanaan baucar khas sebagai alternatif subsidi bersasar
Carmelo Ferlito

SHAH ALAM - Center for Market Education (CME) mencadangkan supaya kerajaan menukar pendekatan subsidi bersasar dengan menggunakan sistem baucar khas yang lebih fleksibel dan tepat kepada golongan yang memerlukan.

Menurut CME, bantuan kerajaan sepatutnya tidak diberikan melalui harga barang atau minyak yang berbeza mengikut golongan pendapatan.

Sebaliknya, harga pasaran perlu kekal sama untuk semua manakala bantuan disalurkan terus kepada individu yang layak melalui baucar.

Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito berkata, sistem subsidi perlu membantu rakyat yang benar-benar memerlukan tanpa mengganggu harga pasaran.

Ujarnya, masalah utama bukan pada usaha membantu rakyat, tetapi pada cara bantuan itu dilaksanakan yang disifatkan terlalu rumit dan tidak menggambarkan keadaan sebenar isi rumah.

“Harga minyak atau barang bersubsidi sepatutnya kekal berdasarkan harga pasaran. Bantuan pula diberi secara terus melalui baucar yang boleh digunakan untuk membeli minyak, makanan, pengangkutan dan keperluan asas lain,” katanya.

Menurut CME, sistem satu harga pasaran lebih telus dan dapat mengurangkan kekeliruan serta risiko penyalahgunaan subsidi.

Pada masa sama, sistem baucar membolehkan bantuan diberikan secara lebih bersasar dan fleksibel.

Carmelo turut menjelaskan bahawa pendapatan semata-mata tidak cukup untuk menentukan tahap keperluan seseorang.

Beliau memberi contoh dua individu yang menerima pendapatan RM8,000 sebulan mungkin mempunyai beban hidup yang berbeza.

Seorang mungkin bekerja dari rumah dengan kos pengangkutan rendah, manakala seorang lagi perlu berulang-alik jauh setiap hari serta menanggung ramai ahli keluarga.

“Melihat pendapatan sahaja tidak cukup untuk memahami keadaan sebenar rakyat,” katanya.

Selain itu, CME turut mencadangkan supaya baucar bantuan boleh dipindahkan atau dijual dalam sistem yang dikawal selia.

Menurutnya, langkah itu membolehkan individu yang tidak menggunakan sepenuhnya bantuan mereka menyalurkannya kepada pihak lain yang lebih memerlukan.

CME berkata, sistem tersebut boleh membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar rakyat dengan lebih baik berbanding pendekatan subsidi pukal yang digunakan sekarang.

Pada masa sama, CME menegaskan sistem baucar perlu dipantau secara digital dan mempunyai kawalan bagi mengelakkan penipuan atau penyalahgunaan bantuan.

Menurut CME, subsidi umum yang dinikmati semua golongan ketika ini bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah kurang tepat kerana lebih banyak memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan lebih banyak barang atau bahan api.

CME menyimpulkan bahawa reformasi subsidi negara perlu berasaskan tiga prinsip utama iaitu satu harga pasaran, bantuan bersasar melalui baucar dan agihan bantuan mengikut keperluan sebenar rakyat.