Co-opbank Pertama wakaf dua lot tanah di Seberang Perai Utara untuk kegunaan penduduk setempat
zulfadli
03/07/2023 - 09:29
KUALA LUMPUR 3 Julai - Co-opbank Pertama (CBP) mewakafkan dua lot tanah seluas 0.77 hektar kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Dua tanah wakaf tersebut adalah Masjid Jamek Nurul Iman, Kubang Menerong dan Surau Ad Diniah Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.
Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, sumbangan tanah wakaf itu merupakan satu tanda ingatan CBP kepada penduduk di Pulau Pinang amnya dan kawasan Seberang Perai Utara khususnya.
"Antara kejayaan terbesar seawal penubuhan CBP adalah membeli tanah seluas 2,744 hektar di kawasan Seberang Utara sekitar tahun 1950 dan dijual semula kepada ahli-ahli yang berdaftar dengan CBP secara berperingkat di bawah Rancangan Tanah Kebun Bertam (RTKB).
"Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka mendapatkan pemilikan tanah yang kekal sehingga kini.
"Oleh itu, CBP telah bersetuju untuk mewakafkan dua lot tanah di Kubang Menerong dan Kampung Lembah Raja yang merupakan masjid dan surau untuk kegunaan penduduk setempat," katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah Baharom, pihaknya berharap dengan sumbangan tanah wakaf tersebut dapat membawa keberkatan kepada perniagaan CBP serta memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat.


Terdahulu, turut diadakan adalah majlis agihan daging korban kepada golongan asnaf di kawasan sekitar yang dihadiri oleh Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman. - DagangNews.com

