Bermula sebagai hobi siapa sangka kini ramai nikmati manfaat daripada penghasilan platform dagangan dan bidaan dalam talian Collektr?

Dalam pasaran yang dianggap ‘niche’ iaitu sebahagian industri yang mempunyai sasaran pengguna tertentu, Collektr mula menempa nama dalam industri e-dagang di Asia Tenggara untuk membuka peluang jualan yang pelbagai. Menyedari peluang ini, Adlin Yusman yang merupakan pengasas mula membuat kajian pasaran bagi memahami sifat asas di mana bisnes dipilih berpotensi memiliki permintaan tinggi dan pelanggan yang berulang.

Pada asalnya, Collektr adalah sebuah syarikat tunas rintis (startup) tempatan yang menerima pelaburan daripada First Move dalam menghubungkan pengumpul barangan unik, selain memupuk penglibatan dalam komuniti. Kemudian Collektr dengan cepat berinovasi dan menjadi tempat yang tepat untuk pengumpul mencari barangan yang luar biasa. Sekaligus menjadi platform dalam talian yang menguntungkan untuk ramai peniaga, usahawan serta pemilik perniagaan kecil.
Sesiapa sahaja boleh membuka akaun di Collektr dalam masa sama memilih untuk menjual atau membeli produk. Ada yang baru mahu berjinak-jinak dan menjadikan platform ini untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Ada juga yang mahu memulakan perniagaan sepenuh masa dengan kos permulaan dan pilihan jualan yang fleksibel. Paling utama perlu dipastikan setiap pemohon perlu memberikan bukti kukuh tentang semua barangan yang digunakan untuk jualan, beserta dokumen sokongan lain seperti akaun bank syarikat.

Turut diberi penekanan oleh Collektr adalah sokongan pelindungan yang baik kepada pelanggan untuk mengelakkan penipuan berlaku dan juga memastikan mereka menerima layanan terbaik. Ia termasuk sebarang pengurusan seperti standard diharapkan oleh pelanggan, kos penghantaran tambahan yang mungkin menjadi penghalang sesetengah pelanggan, dan transaksi dalam talian yang selamat.

Seperti eBay, Collektr juga menggunakan laman web atau aplikasi mudah alih untuk menghubungkan diantara pembeli dan penjual. Selain itu memberi tumpuan pilihan jualan yang fleksibel sama ada jualan item pada harga tetap, atau melalui penyenaraian lelongan di mana pembeli boleh membida item berkenaan. Ia juga menyediakan pelbagai kategori produk sama ada barangan terpakai, permainan, pakaian serta barangan ‘rare’ untuk pengalaman beli-belah dan menjual yang unik.
Khususnya bagi peminat barangan berdasarkan Trading Card Games (TCG) terkenal, Magic: The Gathering (MTG) amatlah disarankan untuk meneroka platform ini. Sama ada menjual atau memcari kad tambahan baharu untuk koleksi, Collektr boleh memastikan pengguna mendapat tawaran yan terbaik. Terdapat juga ruangan perkongsian video langsung yang membolehkan penjual menyiarkan jualan secara langsung sambil berinteraksi dengan penonton.

Pembukaan harga bidaan turut boleh dibuat sewaktu sesi penstriman langsung dan hanya diambil sepanjang tempoh bidaan berlangsung sahaja. Selain itu difahamkan bahawa pihak Collektr akan mengambil komisen penggunaan platform sebanyak 8% daripada hasil jualan pengguna yang meliputi pembayaran dan yuran operasi.
Pembeli turut boleh menerima bayaran balik wang penuh tanpa caj untuk mana-mana ralat disebabkan oleh kecacatan, kerosakan atau ketidakpuasan hari dengan barangan yang dipesan. Misalnya seperti apa yang diterima didapati rosak atau bukan seperti yang dipesan, pengguna tersebut boleh mendapat bayaran penuh semula.

Cubaan ringkas mendapati kebanyakan peniaga dilihat mempamerkan barangan jualan secara terbuka di akaun masing-masing beserta harga jualan. Terdapat juga penawaran tambahan untuk bantu pembeli memilih barangan yang sesuai dengan keperluan. Fungsi serta antaramuka digunakan sama ada di laman web mahupun aplikasi juga ringkas dan tidak terlalu kompleks dengan lambakan komponen dan warna. Malahan lebih memfokuskan dengan perkhidmatan yang ingin disampaikan.
Proses jualan secara penstriman langsung juga menunjukkan pihak terlibat bukan sekadar menjual barangan semata malahan saling berinterasksi dengan penonton. Turut didapati bahawa platform ini mendapat kerjasama pelbagai rakan kongsi dan komuniti berpotensi seperti TCGKL (Trading Card Game Kuala Lumpur), The Collective Hobby dan beberapa lagi yang lain.

